NEW YORK: Carlos Alcaraz menyifatkan memburu kejuaraan Terbuka Australia tahun depan sebagai sasaran utama bagi melengkapkan koleksi Career Grand Slam.
Bintang Sepanyol berusia 22 tahun itu baru sahaja menundukkan seteru utamanya, Jannik Sinner 6-2, 3-6, 6-1, 6-4 untuk merangkul gelaran keenam Grand Slam dan kejuaraan kedua di Terbuka Amerika Syarikat (AS) hari ini.
“Ia adalah matlamat pertama saya, jujurnya, dan Terbuka Australia sentiasa menjadi keutamaan dalam senarai sasaran saya.
“Sudah tentu saya akan cuba melakukannya tahun depan, tetapi jika bukan tahun depan, mungkin dalam dua, tiga atau empat tahun lagi saya tetap akan berusaha melengkapkan Slam itu,” Alcaraz.
Dalam empat penampilannya di Melbourne sebelum ini, Alcaraz belum pernah melepasi peringkat suku akhir pada kejohanan pembuka musim berkenaan.
Legenda Sepanyol, Rafael Nadal masih memegang rekod pemain termuda melengkapkan Karier Grand Slam pada usia 24 tahun pada 2010 dan Alcaraz berpeluang memintas rekod tersebut di Melbourne.
Dalam pada itu, kejayaan di New York turut mengesahkan Alcaraz kembali merampas ranking No. 1 dunia daripada Sinner selepas kali terakhir menduduki takhta itu pada September 2023.
Jurulatihnya, Juan Carlos Ferrero memuji persembahan anak didiknya di final dan menegaskan potensi Alcaraz untuk menggenggam banyak lagi gelaran utama masih terbuka luas.
“Potensi untuk memenangi banyak gelaran sudah ada, tetapi tiada apa yang automatik, dia masih perlu bekerja keras dan memperbaiki diri kerana usianya baru 22 tahun,” kata Ferrero. – AGENSI










