Sultan Selangor titah garis panduan operasi ladang babi

Sultan Selangor titah garis panduan operasi ladang babi

Garis panduan ladang babi
SULTAN SHARAFUDDIN IDRIS SHAH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah menitahkan garis panduan bagi pemindahan ladang-ladang ternakan babi dari Tanjung Sepat, Kuala Langat ke Bukit Tagar, Hulu Selangor supaya ia dilakukan dengan teliti dan harmoni.

Malah, baginda juga menekankan operasi penternakan babi di negeri ini mengambil kira kepentingan rakyat, kesejahteraan alam sekitar serta keharmonian sosial di Selangor.

Istana Alam Shah dalam kenyataannya berkata, baginda memperkenan dan menetapkan tiga ketetapan untuk dipatuhi serta dilakukan dengan penuh tanggungjawab, berhemah dan mematuhi undang-undang.

“Operasi sedia ada di Tanjung Sepat hendaklah dihentikan secara beransur-ansur dan seterusnya di pindahkan ke kawasan Bukit Tagar mengikut perancangan yang tersusun serta mematuhi semua keperluan perundangan dan peraturan berkaitan.

“Satu kajian terperinci serta bancian menyeluruh berasaskan data yang sah hendaklah dilaksanakan bagi mengenal pasti statistik dan kuantiti sebenar keperluan permintaan daging babi bagi rakyat bukan Islam di Selangor.

“Baginda menegaskan kerajaan negeri tidak akan menyediakan sebarang peruntukan kewangan atau membuat pelaburan bagi mana-mana operasi penternakan babi pada masa hadapan termasuklah di Bukit Tagar. Segala urusan berkaitan hendaklah dilaksanakan tanpa melibatkan dana awam negeri,” katanya, hari ini.

Tambahnya, Sultan Sharafuddin turut menitahkan dapatan daripada kajian dan bancian hendaklah dijadikan asas utama dalam menentukan skala, kapasiti dan keluasan operasi di Bukit Tagar agar ia kekal pada tahap yang munasabah dan terkawal.

“Baginda menegaskan bahawa tiada sebarang tujuan atau perancangan untuk eksport hasil penternakan tersebut,” ujarnya.

Terdahulu, Utusan Malaysia melaporkan ladang babi di Kampung Ladang Tumbuk, Tanjung Sepat diarahkan tutup selepas Sultan Selangor tidak berkenan pembaharuan lesen diberikan.

Dalam pertemuan antara baginda dengan Exco Infrastruktur dan Pertanian, Datuk Izham Hashim selama 45 minit di Istana Bukit Kayangan pagi tadi, Sultan Sharafuddin tidak berkenan pembaharuan lesen diberikan kepada ladang-ladang tersebut.

Justeru, perusahaan ternakan babi sana ditutup dan perkara itu akan dibawa ke Mesyuarat Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) Selangor.

Izham berkata, beliau akan mendapatkan keputusan daripada MMKN dan dibawa kepada pemilik-pemilik ladang sebagai panduan bagi penutupan dan pemindahannya ke ladang berpusat di Bukit Tagar seawal tahun ini.

Minggu lalu, Utusan Malaysia melaporkan, kerajaan negeri bersedia memberi pertimbangan kepada pemilik ladang untuk mematuhi secara berperingkat dan menguruskan isu teknikal terhadap permohonan lesen dalam tempoh sebulan.

Pertimbangan tersebut dilihat sebagai kebenaran kebenaran ternakan babi kepada pemilik 112 ladang di Tanjung Sepat dengan pematuhan syarat secara berperingkat dalam tempoh setahun. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×