PETALING JAYA: Persekutuan Sepaktakraw Asia (ASTAF) bakal menganjurkan Liga Kelab Sepak Takraw Asia (ACSL) dengan kerjasama lapan hingga 10 negara ahli gabungannya.
Presiden ASTAF, Datuk Abdul Halim Kader berkata, saingan liga yang menggunakan format timbal balik itu turut membenarkan khidmat pemain import bagi setiap pasukan bertanding.
“ACSL akan menampilkan hanya barisan kelab terbaik atau juara-juara liga tempatan ahli-ahli gabungan ASTAF seperti dari Malaysia, Thailand, Indonesia, Myanmar, Filipina, Singapura, Vietnam, Myanmar, Brunei, Iran serta India.
“ASTAF juga mahu menjenamakan ACSL sebagai liga timbal balik antarabangsa, sebuah pertandingan sepak takraw yang tersendiri, unik dan berinovasi serta bertaraf semi profesional.
“Sekalipun bajet penganjurannya mungkin besar kerana membabitkan aspek seperti penerbangan jauh dan logistik, saya yakin kerjasama mantap ahli gabungan ASTAF dapat mengatasinya,” katanya.
Halim berkata, Jawatankuasa Bertindak Khas perlu ditubuhkan bagi mengkaji secara terperinci konsep penganjuran ACSL di samping menggubal peraturan pertandingan serta bajet.
Katanya, penyertaan pemain import diambil menggunakan konsep dan pelaksanaan liga bola sepak atau sukan profesional lain di Asia yang akan diubah suai mengikut kesesuaian sepak takraw.
“Jika ada kelab-kelab peserta yang sanggup menaturalisasikan mereka (memberi taraf kewarganegaraan), mungkin ASTAF sedia menimbangkannya,” katanya.-UTUSAN