ASEAN tidak boleh bergantung kepada PBB selesaikan konflik

ASEAN tidak boleh bergantung kepada PBB selesaikan konflik

MOHAMAD HASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Malaysia selaku Pengerusi ASEAN menegaskan rantau ini tidak boleh hanya bergantung kepada Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) bagi menyelesaikan konflik, sebaliknya perlu mengambil tindakan sendiri demi mengekalkan kestabilan serantau

Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, ASEAN telah membuktikan kemampuan dengan mempertemukan pihak-pihak yang bertelagah, mencapai persetujuan gencatan senjata serta kini memantau pelaksanaannya di lapangan.

“Apabila konflik hampir memuncak antara jiran kita, ASEAN tidak berpeluk tubuh. Kita perlu bertindak segera dengan mempertemukan kedua-dua pihak di Malaysia dan melaksanakan gencatan senjata,” katanya ketika menyampaikan Kenyataan Negara pada Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNGA) ke-80 hari ini.

Kenyataan beliau itu dilihat sebagai teguran tersirat terhadap kelewatan PBB dalam menangani krisis global, selain menegaskan pendekatan proaktif ASEAN wajar dijadikan contoh dalam mendepani cabaran serantau.

Mohamad berkata, suara serta aspirasi negara-negara Selatan Global tidak wajar hanya dianggap sebagai sampingan, sebaliknya perlu diberi keutamaan dalam pembentukan tatanan antarabangsa yang lebih adil.

Beliau berkata, negara-negara membangun terlalu lama menanggung beban dasar ekonomi yang tidak seimbang sehingga menghalang mereka daripada menyertai ekonomi global secara adil.

Katanya, keadaan itu lebih menyakitkan apabila negara-negara Selatan Global yang menempatkan majoriti penduduk dunia kurang diwakili dalam proses membuat keputusan, diketepikan dalam tadbir urus global dan tidak mendapat akses sewajarnya kepada pembiayaan pembangunan.

“Negara-negara Selatan Global berdepan jurang besar dalam pembiayaan untuk pembangunan mampan walaupun menempatkan populasi paling terdedah di dunia.

“Ironinya, kita merupakan majoriti dunia, namun masih dipinggirkan dalam sistem antarabangsa. Ketidakseimbangan ini mesti diperbetulkan kerana suara, keperluan dan aspirasi Selatan Global bukanlah perkara sampingan,” katanya.

Beliau berkata, Malaysia akan terus memperjuangkan maruah, kesaksamaan serta peluang yang adil untuk semua negara membangun dan tatanan antarabangsa baharu tidak akan tercapai tanpa meletakkan Selatan Global di pusatnya.

Dalam pada itu, Mohamad turut mengingatkan bahawa Asia Tenggara tidak boleh sekali lagi dijadikan medan perebutan kuasa besar.

“Rantau ini dan perairannya tidak boleh dibiarkan menjadi pentas persaingan strategik. Justeru, semua pihak mesti mematuhi sepenuhnya Konvensyen Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu mengenai Undang-Undang Laut (UNCLOS) dan mengelak sebarang tindakan yang boleh mencetuskan salah perhitungan atau konflik di Laut China Selatan,” katanya.

Mengulas isu Myanmar, beliau berkata, ASEAN perlu terus berusaha memulihkan kredibiliti Konsensus Lima Perkara bagi menghentikan keganasan yang masih berlarutan di negara itu.

Katanya, sebagai Pengerusi ASEAN 2025, Malaysia komited memastikan blok serantau tersebut kekal berperanan penting memelihara keamanan, memperkukuh keselamatan, meningkatkan daya tahan ekonomi dan memajukan matlamat kemampanan di rantau ini.

Malah katanya, lagi, ASEAN amat kecewa apabila gencatan senjata yang dipersetujui di Myanmar dicabuli di beberapa kawasan, manakala keganasan berterusan mengancam keselamatan orang awam.

“Mereka yang berkuasa harus ingat bahawa Myanmar adalah sebahagian daripada rantau ini, bukan negara terpencil.

“Terdapat masa depan yang lebih cerah dan selamat untuk semua rakyat kita sekiranya kita bekerjasama dengan penuh keikhlasan mencari penyelesaian krisis yang dipimpin serta dimiliki oleh rakyat Myanmar sendiri,” katanya.

Menurut beliau, ASEAN akan terus memainkan peranan penting sebagai blok serantau dalam memelihara keamanan, memperkukuh keselamatan, meningkatkan ketahanan ekonomi dan mendorong matlamat kemampanan di seluruh rantau ini.

“Apabila konflik semakin memuncak di antara jiran kita, ASEAN tidak berdiam diri. Kita tampil mempertemukan kedua-dua pihak di Malaysia, melaksanakan gencatan senjata dan kini memastikan ia dipantau secara aktif di lapangan.

“Cabaran tetap ada, namun mesej kita jelas iaitu ASEAN akan kekal di meja rundingan, menggesa semua pihak menghormati komitmen mereka. Tiada konflik, sama ada antara negara atau dalam negara yang berbaloi untuk mempertaruhkan kestabilan rantau kita,” katanya.

Beliau berkata, ia merupakan penghormatan besar, tetapi juga tanggungjawab paling berat bagi Malaysia untuk menangani cabaran Asia Tenggara sepanjang tempoh kepengerusian ini.

Katanya, sejak 58 tahun lalu, ASEAN yang kini dianggotai 10 negara telah berkembang dengan memperluas keanggotaan, berinteraksi dengan dunia luar serta kekal komited menangani cabaran dalaman dan luaran. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN