BALING: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengimbau nostalgianya di daerah ini yang menyaksikan beliau dipenjarakan selama dua tahun di Kem Tahanan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) di Kamunting, Perak kerana memperjuangkan nasib rakyat miskin.
Beliau berkata, Baling tidak pernah luput dalam ingatannya kerana terkenal dengan masalah kemiskinan ketara, selain menjadi lokasi rundingan Almarhum Tunku Abdul Rahman dengan Parti Komunis Malaya (PKM).
Anwar berkata, beliau sudah lama menyuarakan keinginannya untuk menghadiri program di Baling yang mempunyai sejarah tersendiri terutama dalam peristiwa Baling 1974.
“Tentunya nostalgia, rundingan Tunku Abdul Rahman sebelum merdeka dengan komunis diketuai Chin Peng mencari titik perdamaian, tetapi oleh kerana sikap keras PKM ketika itu, mereka mahu terus dengan langkah mereka, maka gagal Rundingan Baling 1955.
“Cuma pada 1974, beberapa tahun selepas Tun Abdul Razak Hussein luncur Dasar Ekonomi Baru (DEB) yang mahu jamin kemaslahatan rakyat termasuk pembasmian kemiskinan tanpa mengira kaum, muncul pula masalah kemiskinan ketara kerana kejatuhan mendadak harga getah tiga tahun kemudian.
“Pekebun-pekebun kecil hidup dalam keadaan yang sangat sengsara. Mereka bangun, berarak di Baling sehingga ke Alor Setar kemudian sampai berita itu di Kuala Lumpur, kami pun bangkit beri sokongan. Maka saya diberi cuti rehat di Kamunting dua tahun,” katanya pada Program Madani Rakyat 2025 di sini, hari ini.
Perdana Menteri berkata, ketika peristiwa Baling berlaku, beliau merupakan Presiden Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) dan timbalannya ketika itu ialah Allahyarham Datuk Fadzil Noor.
“Tapi sekarang saya datang sebagai Perdana Menteri Malaysia. Jadi tak kan nak lupa yang jasa dia termasuklah rakan-rakan di Baling dulu,” katanya.
Anwar berkata, ukuran kejayaan negara bukan sekadar boleh memacu pertumbuhan hebat, pelaburan yang meningkat dengan angka-angka yang meyakinkan, namun bagaimana ia diagihkan dengan adil kepada rakyat yang paling terpinggir.
Ujarnya, ujian terbesar seorang pemimpin adalah ketika diberikan kuasa dan tanggungjawab yang perlu digalas sebaik mungkin bagi memastikan rakyat mendapat pelbagai manfaat daripada setiap dasar yang dibuat.
“Saya ingat yang saya masuk penjara dua tahun soal Baling sebab apa? Bela nasib miskin. Jadi jangan lepaskan peluang untuk amalkan, masa ada kuasa cuba laksanakan dengan amanah dengan sebaik mungkin.
“Esok dah pencen, hang berleter banyak mana pun orang tak dengar dah. Orang tanya, hang dulu buat apa? Saya tak mahu bila saya pencen, orang kata Anwar bercakap pasal apa tak buat itu, tak buat ini dulu,” katanya. – UTUSAN










