Bukan kami tidak sayang pada darah daging sendiri. Atok mana yang tidak kasih pada cucunya nan seorang. Nenek mana yang tidak peduli pada cucu lelaki tunggal. Pakcik makcik mana yang tidak prihatin pada anak buah yang satu-satunya itu juga.
Namun apabila kasih berada di persimpangan bukan mudah mencari penyelesaiannya. Kaedah yang berbeza pasti dampaknya juga tidak serupa.
“Emak nampak sendiri dia selok beg tangan mak, ambil duit dan gesa-gesa pergi,” emak menyuarakan keserbasalahannya.
“Tak mengapalah, kali ini emak biarkan sahaja.”
Berselang tiga hari, dia buat lagi.
Tiada jalan lain, ayah melaporkan pada Abang Long.
“Amir. Bapak tahu Amirul yang ambil duit atas meja dapur. Waktu itu tiada orang lain di rumah. Semua kerja. Duit itu Ahmadi beri untuk bayar bil elektrikdan air.”
Bapa berkata lembut agar Abang Long mengerti – bukan suruh marah tetapi wajib mendidik dengan cara yang betul. Rebung jika sudah menjadi buluh lentur sedikit pun boleh patah.
“Berapa?” Tanpa reaksi jelas, tetapi tegang dan mendatar abang Long tidak memandang secuit pun ke wajah bapa.
Tangannya menyeluk poket. Tingkahnya mengguris hati bapa.
“50.” Sedangkan hakikatnya berkali ganda daripada itu.
Namun emosi bapa sudah terluka. Bapa berjauh hati.
1
Tanpa bicara, Abang Long menghulurkan sekeping not 50 lalu beredar. Tiada pamitan. Kami memandang wajah bapa dengan bisikan kata yang tidak terucapkan pada lidah namun sangat menggigit sanubari.
Abang Long menyarung sandalnya dan berlalu pergi. Begitu sahaja.
Esoknya Amirul datang dengan pipi bengkak dan kemerahan. Kami tahu Abang Long telah mengajarnya cukup-cukup. Bibir Amirul ada kesan pecah. Siapa yang tidak kasihan dan simpati?
Siapa bilang jika bapanya borek, si anak pasti rintik?
Sesiapa pun sukar menelah daripada DNA siapa Abang Long mewarisi sifat panas barannya. Bukan daripada bapa yang sangat lembut tatkala berbicara dengan anak- anak.
Tidak juga daripada emak yang jarang meninggikan suara setiap kali kami membuat kesilapan. Malahan bukan juga daripada kami tiga beradik, yang amat langka berkelahi sesama sendiri, kecuali abang Long seorang yang memang begitu sejak mula.
“Barangkali sebab kak Ngah lahir enam tahun selepas dia. Dia sukar terima ada adik waktu itu. Dia rasa hilang kasih agaknya,” emak pernah menyalahkan diri sendiri.
Namun, emak dan bapa tidak menyangka rasa tidak disayangi itu dibawa sehingga ke usia dewasanya. Malahan sesudah punya anak sendiri.
Lima belas tahun abang Long sekeluarga tinggal jauh di Sabah. Baru sahaja pulang dan bina rumah yang kira-kira sepelaung sahaja dari rumah kami di kampung.
Enam tahun berkahwin baharu mereka dapat anak iaitu Amirul. Anehnya sifat baran Abang Long masih lekat. Berbeza sungguh dengan kak Long, ipar kami.
2
“Alah. Namapun budak. Budak mana yang tak buat nakal!” Selamba kakLong membidas kata-kata emak sewaktu mengadu sikap Amirul yang panjang tangan. Pegawai eksekutif bank itu sangat defensif menerima aduan orang.
Aku pandang kak Ngah. Kak Ngah toleh pada Ahmadi. Kami bungkam. Bukan sekali Amirul mengambil barang-barang dalam rumah tanpa izin. Pen mahal Ahmadi.
Head phone kak Ngah.
Power bank aku.
Kami tegur. Dia berlari balik tidak datang menjengah berhari-hari. Kami pula ditimpa rasa bersalah.
Sudahlah anak buah cuma seorang, lama pula berjauhan. Kini, setelah dekat suasana semakin menjarakkan. Di telan mati emak, di luahkan mati bapak.
Suatu ketika makcik Senah jiran sebelah tanah melaporkan; Amirul sengaja berak di tepi kereta anaknya Saiful. Terburu-buru mahu ke pejabat pagi-pagi terpijak najisnya. Ada yang nampak dan beritahu mereka.
Barangkali Amirul bengang ditegur menendang kucing jalanan dengan sengaja. Sehingga kucing itu terperosok ke dalam parit.
Emak memanjangkannya. Kak Long tidak terima.
“Basuh sajalah tahi itu. Hendak bising-bising buat apa?” Dengusannya benar- benar membakar dada kami.
“Namapun budak.”
“10 tahun kot. Budak apanya…?” Aku mahu segera memintas namun kerlingan mata emak aku faham.
“Hari itu anak ayam saya dipicitnya sampai mati.” Usu Limah juga jiran sebelah kiri tanah meluahkan kesal.
3
“Berapa harga anak ayam itu? Kami bayar.” Nada suara kak long meninggi dan angkuh. Kami mengurut dada memujuk sabar.
Suatu pagi minggu Amirul datang dengan wajah duka dan sengsara. Ada tanda lebam di tangan dan di kakinya. Di dahinya juga ada benjolan.
“Kenapa ini Amirul?” Suara bapa lirih. Bapa mengusap perlahan tubuh cucu tunggalnya yang kelihatan pucat biru lebam di banyak bahagian anatominya. Mata emak bergenang. Kami ikut murung.
“Ayah pukul.” Matanya merenung polos. Tetapi dia tidak menangis kerana mungkin sudah tiada lagi airmatanya.
“Kenapa pukul anak sampai macam itu sekali?” Bapa tidak menunggu lama sebaik kelibat abang Long melintas di hadapannya, di surau Maghrib itu.
“Dia curi barang-barang kawan kelasnya. Cikgunya mengadu. Ramai emak bapak lain pun mengadu.”
Abang Long bingkas berlalu meninggalkan bapa yang terbata-bata merenung ke arahnya.
Malam itu lama bapa menyepi dan termenung di beranda rumah.
Jam tangan Ahmadi hilang dua tiga hari lepas. Kak Ngah hilang telefon genggamnya sewaktu sibuk di dapur menolong emak memasak. Aku pula kehilangan wang 100 ringgit baki menunggu gaji sehingga cukup bulan.
Semua itu berlaku sebaik sahaja Amirul meninggalkan rumah selepas makan tengah hari dan selama seminggu inilah Amirul tidak menunjukkan muka.
“Kalau beritahu ayahnya, saya bimbang dia belasah anaknya sampai hilang nyawa.” Bapa memandang emak yang juga resah dan mati kutu.
Kami ikut sama bingung.
“Sebaliknya kalau cerita pada emak dia, kita pula disalahkannya.” Emak menokok kata-kata bapa dengan riak wajah yang sangat jengkel.
4
Malam itu berlalu begitu sahaja. Angin malam berdesir perlahan. Dedaunan pohon di halaman rumah kelihatan lemah bergoyang di puput bayu. Tidak mampu mengusir gejolak di hati kami.
Antara mahu mencari penyelesaian atau membiarkan sahaja.
Pagi minggu itu emak masak beria-ia pelbagai menu. Nasi bariyani, ayam masak merah, kari dalca, daging goreng lada hitam, sayur mayur beserta ulaman.
Bapa menyiapkan minuman sirap laici dan memotong buah-buahan dihias molek di dalam pinggan yang jarang digunakan kecuali ada majlis tertentu. Emak meminta kami mengemas ruang tamu dan halaman.
Mulanya kami panasaran namun kami tahankan sehinggalah abang Long bersama isterinya dan Amirul muncul untuk makan tengah hari.
“Sudah lama tidak makan sama-sama,” senyum bapa kelihatan amat manis.
Emak turut mengukir senyum yang nyata ikhlas dan lembut.
Aku memandang tepat ke mata Amirul yang sejak mula sentiasa mengelak daripada bertembung pandang dengan sesiapa sahaja.
Kak Long jelas membentuk senyum pahit yang seolah dipaksakan diukir di bibirnya. Tidak siapa pun peduli.
Usai makan, bapa bertanya lembut; “Dua tahun lagi Amirul akan masuk sekolah menengah kan?” Semua diam.
“Bagaimana pelajaran dia di sekolah?” Bapa menyentuh mata abang Long dengan pandangan kasih seorang ayah.
Sifat kepegawaian tentera abang Long jelas ketara menerusi duduk tegaknya dan sorot pandang yang tegas dan jitu.
Abang long mengerling ke arah isterinya. Kak Long pura-pura tidak memandang sambil mencuci tangan. Amirul kelihatan resah.
5
“Ok saja rasanya”, abang long menjawab sepintas lalu. Kak Long masih berlakon tidak terkesan dengan pertanyaan bapa. Dia menoleh sekilas pada anaknya Amirul. Tiada reaksi balas.
“Ini gelas kaca,” bapa mengangkat. Semua mata tertumpu ke arah situ.
“Kita yang dewasa melihatnya sebagai kaca yang bersinar, ada biasan apabila terkena cahaya, cantik diletakkan di dalam almari. Lebih-lebih lagi kalau diimport beli,” Bapa berjeda sebentar.
“Sebaliknya kita sedar ada sesuatu yang bahaya bila ia pecah dan melukai kaki atau tangan”.
Mata bapa meliar ke sekitaran. Kami termenung.
“Tetapi bagi kanak-kanak seperti Amirul ia melihat gelas ini hanya sebagai wadah mengisi minuman bila dia dahaga. Atau benda boleh buat main dengan golek- golekkannya.” Semua menyorot pandang pada nama yang disebut.
“Seorang bapa hanya tahu melarang dengan menyebut ‘jangan’. Jika degil, anak dimarahi.
“Jika keras kepala lagi terus pukul. Anak tak tahu kenapa tak boleh main dengan gelas kaca.” Suara bapa perlahan tetapi jelas.
“Seorang ibu pula kerana sayangkan anak hanya membiarkannya bermain dengan gelas. Ditakdirkan pecah dan melukai tangan anak, dia menyalahkan gelas. Bukan dirinya yang tidak pernah melarang.”
Ekor mata bapa melirik seketika.
“Sampai ke sudah anak tidak tahu apa-apa tentang kaca.”
“Apa maksud ayah sebenarnya?” Ternyata abang long sudah hilang sabar. Mungkin juga berasa tersindir dengan bicara sinis bapa.
Kak long menarik muka.
“Tok Penghulu jumpa ayah hari itu.” Suasana menjadi hening. Yang terdengar hanya bunyi kipas berpusing di atas kepala. Namun angin nyaman tidak terasakan di dada kami.
6
“Ada orang kampung nampak Amirul baling kereta orang sampai pecah cermin belakang. Sebelum itu ada banyak kes dia buli budak-budak kecil di padang permainan.”
Kak Long membeliakkan mata. Amirul jelas cemas dan biru mukanya. Abang Long bingkas mahu bangun mendapatkan anaknya.
“Long. Sabar dulu. Long tidak pernah terfikirkah kenapa perangai Amirul tidak berubah walau kamu sudah selalu sebat, pukul, jerit, jerkah dan belasah dia secukup- cukupnya?” Suara bapa agak meninggi. Ternyata kali ini bapa enggan bertolak ansur lagi.
Kak long kelihatan sangat gelisah. Dan sukar menerima. Emak membatu.
“Kamu pula Azizah, bila sentiasa menangkan anak, tidak terima apabila orang mengadu pasal anak kamu nakal, apa akibatnya yang kamu lihat sekarang? Dia bukan makin baik malahan sebaliknya.” Kak Long menunduk. Tangannya sigap di paha.
“Tok Penghulu beritahu ayah, kalau kalian tidak selesaikan perkara ini baik-baik dan tidak mampu ubahkan sikap Amirul, dia hendak report polis.
“Dan mungkin anak kamu layak dimasukkan ke sekolah Henry Gurney!” Renung mata ayah tajam dan berbisa. Jarang ayah berekspresi seperti itu.
“Jangan sampai orang kampung meletakkan undang-undang di tangan sendiri. Kalau sampai Amirul cedera parah, koma atau meninggal sebab kena pukul, jangan salahkan takdir!”
“Kami di rumah ini pun kalau hendak report polis banyak kes kecurian berlaku!” Abang long membisu. Kak Long serba tidak kena tingkahnya. Amirul resah dan berpeluh seluruh badan. Memeluk ibunya.
“Kamu balik ke rumah. Bincang elok-elok suami isteri. Fikirkan kenapa Amirul jadi begitu.”
7
“Kalau ikutkan baran, anak kamu yang sakit. Dalamannya pun sudah sedia rosak.” Bapa memalingkan muka ke arah kak long.
“Kalau kamu pula manjakan sangat anak sebab ayahnya kasar, anak jadi lembik jiwa dan rapuh akar budinya.”
Bapa bangkit dan menuju ke kamar tanpa sepatah kata lagi.
Hanya kedengaran bunyi kipas yang berpusing di atas kepala. – UTUSAN










