NEW YORK: Carlos Alcaraz membuktikan kematangannya apabila menundukkan Novak Djokovic untuk mara ke final Terbuka Amerika Syarikat (AS) buat kali kedua.
Pemain Sepanyol berusia 22 tahun itu menang straight set 6-4, 7-6 (7/4), 6-2, sekali gus mengesahkan tiket ke final kejohanan berstatus Grand Slam ketiga berturut-turut.
“Saya hanya bekerja keras untuk konsisten sepanjang perlawanan dan kejohanan, tanpa prestasi turun naik. Inilah diri saya yang sebenar di gelanggang.
“Saya semakin mengenali diri sendiri, tahu apa yang saya perlukan di dalam dan luar gelanggang, dan itu membuatkan saya bangga dengan prestasi ini,” kata Alcaraz.
Alcaraz kini mengintai gelaran utama keenam dan berpeluang menjulang trofi kedua di New York selepas kali pertama melakukannya pada 2022.
Djokovic pula terpaksa akur dengan kekalahan keempat berturut-turut di peringkat separuh akhir Grand Slam.
“Sudah tiga daripada empat Slam saya tewas di separuh akhir menentang pemain seperti Alcaraz dan Sinner, mereka memang terlalu bagus dan beraksi pada tahap sangat tinggi.
“Saya rasa lebih berpeluang dalam format tiga set, tetapi untuk lima set di Grand Slam, memang sukar untuk saya menewaskan mereka,” kata Djokovic.
Kekalahan itu menamatkan peluang bintang Serbia berusia 38 tahun itu untuk muncul juara kejohanan utama sebagai pemain paling veteran dalam sejarah.
Kekalahan itu juga menyaksikan, kali pertama sejak 2002 tiada kelibat Djokovic, Rafael Nadal atau Roger Federer di pentas final kejohanan utama. – AGENSI