PETALING JAYA: Perlawanan kelayakan Piala Asia 2027 antara skuad Harimau Malaya dan Nepal pada 18 November ini bakal dipindahkan ke Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ).
Menurut laporan media tempatan, keputusan itu diumumkan Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) selepas Stadium Dasharath, Nepal gagal melepasi piawaian walaupun dua kali diperiksa.
Faktor utama ialah kemudahan stadium yang tidak menepati syarat minimum untuk penganjuran perlawanan antarabangsa.
Setiausaha Agung AFC, Datuk Seri Windsor Paul John berkata, hanya venue berubah manakala tarikh kekal seperti jadual asal.
Katanya, keputusan ini tiada kaitan dengan kemelut dalaman di Nepal, sebaliknya berpunca daripada kelemahan infrastruktur stadium berkenaan.
“Kami sudah melakukan dua pemeriksaan di Nepal, namun mereka gagal memenuhi kriteria. Maka perlawanan Nepal menentang Malaysia ditetapkan berlangsung di SNBJ,” katanya.
Situasi itu jelas memberi kelebihan besar buat skuad kendalian Peter Clamovski yang kini berpeluang beraksi di depan ribuan penyokong sendiri, menjadikan ‘perlawanan tempat lawan’ bertukar wajah menjadi ‘perlawanan tempat sendiri’.
Untuk rekod, Malaysia menewaskan Nepal 2-0 dalam pusingan pertama di Stadium Sultan Ibrahim, Johor pada Mac lalu menerusi jaringan Hector Hevel dan Corbin Ong.
Kini, peluang untuk mengutip tiga mata penuh terbentang luas, namun skuad kebangsaan tetap perlu berwaspada kerana Nepal pasti turun dengan semangat melawan bagi menafikan pesta Harimau Malaya di Bukit Jalil.-UTUSAN