PETALING JAYA: Beregu campuran negara, Goh Soon Huat-Shevon Lai mempamerkan kebangkitan apabila berjaya menamatkan badi tersingkir awal dalam kejohanan antarabangsa selepas mara ke pusingan kedua Terbuka Korea 2025.
Pasangan No. 8 dunia itu menewaskan gandingan Indonesia, Adnan Maulana-Indah Cahya Jamil dengan keputusan 21-9, 22-20 pada aksi pembukaan di Gimnasium Suwon hari ini.
Kemenangan tersebut hadir selepas mereka bergelut dengan prestasi tidak menentu termasuk empat penyingkiran awal berturut-turut sejak bulan lalu.
Antara kejohanan yang menyaksikan pasangan suami isteri itu kandas termasuk Terbuka China (pusingan pertama), Kejohanan Dunia (pusingan ketiga), Terbuka Hong Kong (pusingan kedua) dan China Masters (pusingan kedua).
Rentetan keputusan itu menimbulkan persoalan mengenai kemampuan mereka mengekalkan konsistensi menjelang baki siri Jelajah Dunia BWF
Namun, kejayaan menempah tiket ke pusingan kedua di bumi Korea Selatan memberi isyarat bahawa mereka masih berupaya bangkit pada tahap terbaik.
Soon Huat-Shevon bakal berdepan cabaran gandingan China, Gao Jia Xuan-Wu Meng Ying yang berada di ranking ke-25 dunia, esok.
Sementara itu, beregu campuran negara, Hoo Pang Ron-Cheng Su Yin gagal meneruskan langkah apabila tunduk kepada pasangan Thailand, Ruttanapak Oupthong-Jhenicha Sudjaipraparat.
Pasangan No. 18 dunia itu tidak berupaya menyaingi rentak lawan yang kini menghuni ranking ke-14 dunia dalam permainan tiga set 23-21, 17-21, 19-21 dalam masa 63 minit.
Kekalahan tersebut menamatkan momentum positif yang mula mereka tunjukkan sejak Kejohanan Badminton Dunia bulan lalu dan memaksa mereka kembali mencari jawapan kepada kelemahan yang masih menghantui. – UTUSAN