PETALING JAYA: Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail mendakwa wujud entiti luar cuba mensabotaj projek kebangkitan Harimau Malaya.
Perkara itu dikongsi baginda menerusi satu tangkap layar laporan portal sukan di Instagram Story milik Tunku Mahkota Ismail.
Menurut laporan portal berkenaan, terdapat entiti dari luar negara yang didakwa kurang senang melihat kebangkitan skuad negara dan didakwa memiliki hubungan rapat dengan pucuk kepimpinan tertinggi Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA).
Walaupun Tunku Mahkota Ismail tidak menamakan mana-mana pihak, tindakan baginda memuat naik laporan itu seolah-olah memberi bayangan bahawa dakwaan itu mempunyai asas.
Tunku Mahkota Ismail yang juga pencetus utama revolusi bola sepak negara menjadi penggerak dalam pembaharuan skuad Harimau Malaya sejak awal tahun ini dengan menekankan aspek profesionalisme, kepakaran luar negara dan penambahan pemain warisan.
Langkah berkenaan memperlihatkan, skuad kebangsaan mula menunjukkan impak positif apabila menerajui Kumpulan F Kelayakan Piala Asia dengan dua kemenangan awal, termasuk menamatkan kemarau 11 tahun menewaskan Vietnam.
Momentum kemenangan itu turut diteruskan dalam aksi persahabatan antarabangsa apabila Malaysia berjaya menewaskan Palestin, pasukan yang berada di ranking lebih tinggi.
Perkongsian Tunku Mahkota Ismail itu, pantas menarik perhatian penyokong setia bola sepak negara yang menganggap ia sebagai amaran terhadap sebarang cubaan pihak luar yang mahu merencatkan kebangkitan Harimau Malaya.
Revolusi yang diterajui Tunku Mahkota Ismail kini dianggap tonggak penting dalam usaha Malaysia kembali bersaing di pentas Asia, sekali gus menjadikan dakwaan sabotaj ini sesuatu yang perlu dipandang serius oleh pihak berkaitan. – UTUSAN