PETALING JAYA: Selepas gagal meraih dua kejuaraan berturut-turut, pemain tenis berkerusi roda negara, Abu Samah Borhan bangkit daripada kekecewaannya apabila memperoleh kemenangan berganda dalam Jelajah Tenis Kerusi Roda Montecchio Maggiore di Itali, baru-baru ini.
Abu Samah menang 6-4, 7-6 menewaskan Nico Langmann dari Austria pada aksi final perseorangan dan turut memenangi kategori beregu bersama gandingannya, Mohamad Yusshazwan Yusoff selepas menundukkan pasangan Itali, Luca Arca-Ivan Tratter 6-4, 6-3.
“Kejohanan yang saya sertai ini adalah untuk mengumpul mata bagi memperbaiki kedudukan ranking saya kerana ini merupakan salah satu kaedah untuk memastikan saya berada dalam kelompok pilihan utama pada Sukan Para ASEAN nanti.
“Sebelum kemenangan ini saya telah menyertai dua kejohanan yang mana berakhir dengan keputusan naib juara dan apabila beraksi di kejohanan ketiga saya sudah dapatkan momentum.
“Ini kerana setiap hari saya beraksi secara konsisten dan apabila memasuki kejohanan ketiga ia adalah masa terbaik untuk saya dapatkan kejuaraan,” katanya.
Abu Samah sebelum itu muncul naib juara kategori beregu bersama Yusshazwan selepas tewas kepada pasangan Perancis, Nicolas Charrier-Guilhem Laget 6-3, 6-4 dalam final di Terbuka Du Rhone, Lyon pada 31 Ogos lalu.
Dia dan Yusshazwan sekali lagi tewas pada aksi final kepada pasangan Perancis dan Britain, Ben Bartram-Frederic Cattaneo 6-3, 6-4 di Terbuka Sion dekat Switzerland pada 7 September lalu.
Sebagai rekod, Abu Samah pernah memenangi pingat emas kategori perseorangan lelaki dan perak (beregu lelaki) di Sukan Para ASEAN 2017 di Kuala Lumpur.-UTUSAN