PETALING JAYA: Seramai 1,287 graduan Universiti Antarabangsa Al-Madinah (MEDIU) terdiri daripada 1,111 pelajar antarabangsa dan tempatan menerima sijil dan ijazah dalam Majlis Konvokesyen Ke-5 yang berlangsung semalam.
Majlis berkenaan menyaksikan penganugerahan ijazah dan sijil kepada graduan pelbagai peringkat termasuk 225 doktor falsafah (PhD), ijazah sarjana (349) dan 713 ijazah sarjana muda dengan terdiri pelajar tempatan serta luar negara.
Istiadat konvokesyen yang turut disertai 22 pelajar antarabangsa secara maya itu melibatkan pelajar bagi tahun pengajian 2021 hingga 2024 yang sebelum ini tertangguh berikutan penularan pandemik Covid-19.
Anugerah Pembelajaran Sepanjang Hayat kepada tokoh pelajar berusia 74 tahun, Dr. Abd. Rahim Awang Kechik yang berjaya menamatkan pengajian Sarjana dalam bidang Tafsir dan ‘Ulum Al-Quran (Kerja Kursus dan Kertas Projek/Kajian Kes) dengan pencapaian PNGK 3.07.
Manakala Anugerah Pengerusi pula diberikan kepada Nor Adilah Mohd. Yusuf, graduan Ijazah Sarjana Muda Bahasa (Kepujian) dalam Bahasa dan Kesusasteraan Arab, yang kini berkhidmat di MEDIU sebagai Penolong Pendaftar di Jabatan Pelajar Antarabangsa.
Dalam pada itu Timbalan Naib Canselor, Prof Ir. Dr. Kamal Nasharuddin Mustapha berkata, majlis bersejarah itu membuktikan usaha berterusan MEDIU dalam melahirkan graduan berdaya saing serta pemimpin masa depan.
Beliau berkata, MEDIU kini mempunyai lebih 3,000 pelajar mensasarkan peningkatan jumlah kemasukan pelajar kira-kira 20 peratus setahun melalui pembelajaran secara fizikal dan dalam talian.
“Pelbagai usaha sedang dilakukan melalui beberapa program penambahbaikan dengan memperkenalkan program pengajian dalam bidang kecerdasan buatan (AI) dan menjalinkan kerjasama lebih luas termasuk pengajian lanjutan dengan beberapa universiti luar negara.
“Berdasarkan permintaan dan keperluan semasa, kita dalam usaha memperkenalkan program dalam bidang AI yang dijangka dimulakan pada Julai tahun depan di bawah Fakulti Teknologi Maklumat.
“Selain pengajian secara khusus, ia juga akan dimasukkan sebagai subjek pilihan untuk program-program pengajian lain,” jelasnya.
Sementara itu, Pensyarah Fakulti Kewangan dan Sains Pengurusan, Prof Emeritus Dr. Barjoyai Bardai berkata, sebagai sebuah universiti wakaf, MEDIU berusaha menarik lebih ramai pelajar tempatan melalui kerjasama dengan sekolah, maktab dan maahad tahfiz di seluruh negara.
“Melalui pendanaan daripada Yayasan King Salman dan juga yayasan dari Kuwait, pihaknya bercadang memperluaskan tajaan pendidikan (biasiswa) kepada pelajar tempatan yang memerlukan.
“Sejak dahulu lagi kita ada tawarkan biasiswa dan ini akan diteruskan namun sebahagian besar daripada pelajar peringkat Sarjana dan PhD masuk melalui tajaan negara masing-masing,” katanya. – UTUSAN








