SEPERTI mana kita biasa lihat dalam setiap istiadat konvokesyen Universiti Teknologi Mara (UiTM), graduan pastinya akan hadir bersama insan tersayang khususnya ibu bapa atau salah seorang daripada mereka.
Namun bagi Muhammad Badrul Mohd Hamzah, 25 tahun beliau melangkah naik ke pentas Dewan Agung Tuanku Canselor (DATC) dengan perasaan yang bercampur baur, tanda akur dengan takdir.
Gembira kerana berjaya menamatkan pengajian namun dalam masa yang sama berasa amat sebak berikutan ibu tersayang tidak dapat bersama disebabkan terlantar di rumah akibat penyakit yang dihidapi.
Graduan jurusan Ijazah Sarjana Muda Fotomedia Kreatif itu terkenal dengan isi kandungan media sosial TikTok yang menyentuh emosi orang ramai namun kali ini, jiwa beliau sendiri yang tersentuh mengenangkan ibu yang hanya dapat mengikuti perkembangan konvokesyennya dari jauh.
“Video terbaharu adalah tentang umi yang sakit dan tidak mampu untuk datang konvo saya. Ini satu-satunya perkara yang menjatuhkan air mata jantan saya kerana tidak mampu untuk menyambut hari kejayaan bersama ratu syurga,” luah Muhammad Badrul.
Muhammad Badrul menceritakan tentang ibunya yang menderita Sklerosis Berbilang, iaitu penyakit autoimun kronik yang menyerang otak dan saraf tunjang, menyebabkan kerosakan dan gangguan pada komunikasi antara otak dan bahagian tubuh yang lain.
Berdasarkan video Muhammad Badrul yang tular sehari sebelum hari konvokesyennya, graduan UiTM itu menghuraikan secara tersirat tentang keadaan dan perasaan yang dialaminya.
“Video terbaru itu, saya ingin meluahkan keinginan, saya mahu umi datang ke hari konvo. Tetapi saya faham, umi tidak mampu. Ada bahagian bunga terbakar dalam video tu, itu bermaksud harapan yang tidak tercapai, angan yang terhenti, terbakar begitu sahaja.
“Pedihnya terasa sebab saya mengharapkan umi boleh rasa sendiri kejayaan ni. Tetapi dia tidak mampu, dan mungkin umi pun tidak tahu saya konvo peringkat ijazah sarjana muda. Saya faham,” rintihan pilu Muhammad Badrul.
Dalam linangan air mata, anak kedua dari empat adik-beradik itu turut meluahkan rasa syukur kerana beliau masih menerima sokongan yang tidak terhingga daripada teman seperjuangannya, Nik Lutfi Hadi Syahmi Nik Mahadi.
Luah Badrul dalam sebak, tanpa sokongan yang diberikan oleh mereka, mungkin beliau tidak mampu untuk sampai ke tahap ini dan lemahlah beliau untuk mengharungi rintangan semuanya sendiri. – UTUSAN
ANNISA’ AZLAN
Pelajar Kewartawanan Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam










