Ibu bergenang air mata terima skrol diploma anak

Ibu bergenang air mata terima skrol diploma anak

Diploma anak
JAHARINA Jamal (tengah) bersama suami dan keluarganya ketika mengambil skrol arwah pada Majlis Konvokesyen Politeknik Banting Selangor, di Dewan Al-Jazari Politeknik Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, di Shah Alam, Selangor, hari ini. - UTUSAN / ISKANDAR SHAH MOHAMED
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Seorang ibu menahan rasa pilu ketika menerima skrol diploma milik arwah anaknya seorang graduan dalam bidang Kejuruteraan Mekanikal dari Politeknik Banting Selangor (PBS), hari ini.

Jaharina Jamal, 51, berkata dia tidak dapat menahan sebak detik-detik manis yang sepatutnya dilalui oleh Allahyarham Mohamad Darwisy Mohamad Zulkifli, 21, pada majlis konvokesyen di institusi pendidikan tinggi (IPT) itu.

Menurutnya, ketika itu juga dia teringat pesan arwah anaknya yang mahu ibunya hidup lebih lama.

“Arwah mahu saya hidup 100 tahun dan tidak izinkan saya ‘pergi’ dahulu sebelum dirinya. Sepanjang hayatnya, dia amat rapat dengan keluarga dan berhasrat mahu membantu kami selepas tamat latihan berkenaan.

“Beberapa hari sebelum kejadian, dia turut sempat bergurau mahu mati dahulu dan berpesan supaya tidak tinggal solat walau sesibuk mana pun,” katanya sebak ketika ditemui pemberita.

Terdahulu, Jaharina mewakili anaknya menerima skrol Diploma Kejuruteraan Mekanikal (Pembuatan) secara anumerta daripada Pengarah PBS, Ibrahim Burhan di Dewan Al-Jazari Politeknik Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah (PSSAAS).

Utusan Malaysia sebelum ini melaporkan perjalanan seorang pelajar politeknik untuk menjalani latihan industri berakhir tragedi apabila maut dilanggar sebuah kereta dalam kemalangan di Jalan Paip, Meru, Klang.

Kejadian pukul 8.05 pagi itu berlaku ketika mangsa yang menunggang motosikal dipercayai menuju ke sebuah syarikat di Subang sebelum hilang kawalan lalu terjatuh di laluan bertentangan.

Tambah Jaharina, dia sekeluarga terharu dengan kejayaan arwah biarpun tiada bersama untuk meraikan konvokesyen berkenaan.

“Walaupun tidak berkesempatan untuk meraikan kejayaannya, arwah sudah cukup membanggakan kami. Mungkin arwah tidak dapat bantu kami di dunia, namun Insya Allah di akhirat kelak,” ujarnya.

Sementara itu, Ibrahim memberitahu, Allahyarham Mohamad Darwisy antara 322 graduan yang masing-masing menerima diploma dalam Kejuruteraan Penyenggaraan Pesawat dan Kejuruteraan Mekanikal.

“Sepanjang tempoh pengajian, arwah dikenali sebagai pelajar cemerlang yang berdedikasi, berdisiplin dan disegani rakan serta pensyarah.

“Kami juga berbangga apabila kadar kebolehpasaran graduan PBS mencapai 96.94 peratus tahun lalu sekali gus membuktikan ia menjadi pilihan utama industri,” tambahnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN