1,185 projek bernilai RM1.117 bilion dilaksanakan di Perlis

1,185 projek bernilai RM1.117 bilion dilaksanakan di Perlis

TUANKU Syed Faizuddin Putra Jamalullail (tiga dari kiri) merasmikan pejabat CIDB negeri di Kangar Jaya, Perlis, hari ini. - UTUSAN/ASYRAF MUHAMMAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KANGAR: Sebanyak 1,185 projek bernilai RM1.117 bilion telah dilaksanakan di negeri ini, membabitkan 67 peratus projek kerajaan dan 33 peratus projek sektor swasta.

Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, perkembangan tersebut menunjukkan industri pembinaan di Perlis berkembang dengan cukup dinamik.

Katanya, sehingga September 2025, seramai 2,076 kontraktor direkodkan berdaftar dengan Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) di mana majoriti terdiri daripada kontraktor kelas G1.

 Ujar beliau, secara keseluruhan, seramai 130,000 kontraktor di seluruh Malaysia direkodkan berdaftar dengan CIDB bagi tempoh sama. 

“Selain itu, sebanyak 128 projek tertakluk kepada levi bernilai RM500,000 ke atas telah didaftarkan di negeri ini dengan nilai sebanyak RM689.3 juta membabitkan kutipan levi berjumlah RM861,715. 

“Daripada jumlah itu, 69 peratus merupakan projek kerajaan bernilai lebih RM591 juta, manakala 31 peratus adalah projek sektor swasta dengan nilai melebihi RM270 juta,” katanya ketika ditemui pada majlis perasmian pejabat CIDB negeri di Kangar Jaya, di sini, hari ini. 

Majlis perasmian itu disempurnakan oleh Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail yang turut dihadiri Menteri Besar, Mohd. Shukri Ramli; Ketua Eksekutif CIDB Malaysia, Zainora Zainal dan Pengarah CIDB negeri, Yusrill Haffiz Hamzah.

Sementara itu, mengulas mengenai perasmian tersebut, Ahmad Maslan berkata, pejabat baharu itu meliputi bangunan tiga tingkat berkeluasan 8,548 kaki persegi.

Katanya, ia dilengkapi pelbagai kemudahan moden termasuk kaunter perkhidmatan, bilik seminar, bilik latihan dan Makmal Satelit Building Information Modelling (BIM). 

“Makmal BIM berfungsi sebagai pusat rujukan buat kontraktor, perunding dan pelajar dalam mempelajari serta menguasai teknologi pembinaan digital khususnya pemodelan 3D.

“Pejabat baharu itu akan menempatkan seramai 14 kakitangan bagi memastikan perkhidmatan seperti pendaftaran kontraktor, kutipan levi, pemantauan projek dan latihan dapat disampaikan dengan lebih berkesan kepada industri pembinaan di negeri ini,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×