TORONTO: Alexander Zverev mara ke separuh akhir Masters ke-21 dalam kariernya selepas menyingkirkan juara bertahan, Alexei Popyrin pada aksi sengit di ATP Toronto Masters di Kanada, hari ini.
Pemain pilihan ketiga itu bangkit selepas tewas set pertama sebelum menang 6-7(8/10), 6-4, 6-3 dalam perlawanan yang mengambil masa lebih dua setengah jam.
Insiden berlaku di set terakhir ketika Zverev sedang mendahului 5-3 apabila sorakan liar penonton mengganggu fokusnya sehingga menyebabkan beliau melakukan kesalahan berganda.
Bagaimanapun, beliau kembali fokus dan menamatkan aksi dengan pukulan voli tajam di jaring ketika memperoleh mata penamat pertama.
“Selepas kalah set pertama, saya perlu ingatkan diri bahawa kami berdua bermain dengan baik.
“Saya buat satu dua kesilapan di hujung set pertama, tapi ia perlawanan yang berkualiti tinggi.
“Saya rasa kalau terus bermain dengan baik, saya akan dapat peluang dan memang saya dapat pun; saya tak boleh mengeluh tentang set kedua dan ketiga,” kata Zverev.
Zverev akan berdepan Karen Khachanov dalam separuh akhir Khamis ini, selepas pemain Rusia itu menewaskan bintang muda Amerika Syarikat (AS), Alex Michelsen 6-4, 7-6(7/3).
“Ia satu perlawanan yang sangat sengit dan kompetitif. Saya kena hadapi situasi sukar secara mental, dan saya gembira dapat tamatkan perlawanan dalam set kedua.
“Saya cuba elak beri peluang dia menyerang, itu yang saya buat hari ini,” kata Khachanov. – AGENSI