AMPANG: Fella Design Ashley Furniture HomeStore dengan kerjasama Media Mulia Sdn. Bhd. mengagihkan 1,000 pek bubur lambuk kepada penduduk sekitar Ampang menerusi Program Kongsi Berkat bagi menyemarakkan keberkatan bulan Ramadan.
Inisiatif berkenaan juga diharap dapat menyemai semangat kebersamaan serta memberi manfaat kepada komuniti setempat.
Program tersebut turut diserikan dengan kehadiran Timbalan Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor, Mohd. Kamri Kamaruddin yang turut menyertai sesi pengagihan bubur lambuk kepada penduduk setempat.
Pengurus Pemasaran Digital dan E-Dagang Fella Design Ashley Furniture HomeStore, Lucas Chen Wen Ru berkata, program Kongsi Berkat Bubur Lambuk merupakan penganjuran kali pertama oleh syarikat berkenaan.
Katanya, bubur lambuk secara tradisinya dikaitkan dengan amalan berkongsi atau memberi kepada orang lain, justeru pihaknya melihat program tersebut sebagai salah satu cara untuk memberi kembali kepada masyarakat.
“Orang ramai banyak menyokong Fella Design sebelum ini, maka program berkenaan menjadi peluang untuk kami menyumbang semula kepada komuniti khususnya dalam bulan Ramadan.
“Saya yakin program sebegini boleh diteruskan pada masa hadapan kerana terdapat pelbagai cara untuk menyumbang kepada masyarakat, namun penglibatan secara langsung seperti memasak dan mengagihkan makanan memberi kepuasan yang lebih bermakna,” katanya ketika ditemui baru-baru ini.
Semantara itu, Ketua Pegawai Kewangan Fella Design Ashley Furniture HomeStore, Mun Toong Leong berkata, pihaknya akan mempertimbang untuk meneruskan serta memperluaskan aktiviti berasaskan komuniti pada masa akan datang.
Jelasnya, menu bubur lambuk dipilih untuk diagihkan kepada masyarakat kerana hidangan tersebut sinonim dan merupakan makanan tradisi dalam Ramadan.
“Sekiranya sambutan orang ramai menggalakkan, kami juga akan mempertimbangkan untuk memperluaskan program ini ke lebih banyak cawangan supaya lebih ramai masyarakat dapat menerima manfaat daripada inisiatif yang dijalankan.
“Kami juga berharap dapat bekerjasama dengan pelbagai pihak termasuk Media Mulia Sdn. Bhd., pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dalam melaksanakan sesuatu program yang dapat memberi manfaat kepada masyarakat,” jelasnya.

Ketua Pegawai Operasi Kumpulan Fella Design Ashley Furniture HomeStore, Manivanan Madhavan pula berkata, objektif utama penganjuran program tersebut adalah untuk berkongsi rezeki serta menyemarakkan semangat kebersamaan sepanjang bulan Ramadan bersama komuniti setempat.
Katanya, penglibatan syarikat dalam aktiviti komuniti bukan sahaja mendekatkan mereka dengan masyarakat, malah memberi peluang untuk memahami keperluan golongan yang memerlukan.
“Program seperti ini memberi peluang kepada syarikat untuk menyumbang secara langsung kepada komuniti serta menanam semangat muafakat dan kerjasama.
“Kami berharap inisiatif ini dapat diteruskan pada masa hadapan dan menjadi salah satu tradisi tahunan untuk mendekatkan syarikat dengan komuniti,” katanya.
Menurut Pengarang Kosmo! dan Kosmo! Ahad, Ismail Daud, pihaknya merakamkan penghargaan kepada Fella Design Ashley Furniture HomeStore atas kerjasama menganjurkan program pengagihan bubur lambuk sempena Ramadan.
“Kerjasama tersebut adalah satu usaha yang baik kerana Fella Design dapat memperkenalkan produknya, manakala Media Mulia pula berpeluang memperkenalkan produknya kepada penduduk sekitar.
“Dengan inisiatif ini, kami berpeluang berinteraksi secara lebih mesra dengan masyarakat serta mengeratkan hubungan dengan penduduk melalui pelbagai aktiviti yang dijalankan.
“Media Mulia juga berharap kerjasama ini dapat diteruskan pada masa hadapan dengan skala yang lebih besar serta melibatkan lebih ramai penduduk,” ujarnya.
Dalam pada itu, Pembantu Tukang Masak Dhiya Catering, Affin Sujak berkata, resipi bubur lambuk yang disediakan pada Program Kongsi Berkat itu telah digunakan hampir 10 tahun, namun melalui pelbagai proses penyelidikan dan pembangunan (R&D) bagi menambah baik rasa hidangan tersebut.
Beliau berkata, bubur lambuk yang dimasak mempunyai beberapa kelainan termasuk penggunaan bahan rahsia dan kaedah penyediaan tertentu bagi memastikan rasa serta aroma yang lebih menarik.
Katanya, kaedah tersebut memberikan rasa manis semula jadi kepada bubur lambuk serta mengekalkan resipi yang digunakan sejak 10 tahun lalu.
“Antara proses penting ialah daging perlu direbus terlebih dahulu sehingga empuk dan air rebusan tersebut akan digunakan untuk memasak bubur lambuk.
“Proses memasak bubur lambuk juga mengambil masa kira-kira tiga jam bermula daripada menumis bahan seperti bawang sebelum memasukkan beras dan air sehingga masakan siap,” katanya.
Beliau turut meluahkan rasa gembira atas kerjasama dalam Program Kongsi Berkat yang dianjurkan bersama Fella Design Ashley Furniture HomeStore dan Media Mulia Sdn. Bhd..
“Pengalaman ini amat menyeronokkan kerana sebelum ini, kami hanya terlibat dengan program bersama syarikat lain dan Universiti Teknologi Mara (UiTM). Kali ini dapat bekerjasama dengan syarikat seperti ini benar-benar satu pengalaman yang berbeza dan bermakna.
“Kami berharap kerjasama sebegini dapat diteruskan pada masa akan datang sekiranya diberi peluang untuk kembali berkolaborasi dalam program-program menyantuni masyarakat seperti ini,” katanya. – UTUSAN










