LONDON: Bos Mercedes, Toto Wolff mendedahkan bahawa dia dan Lewis Hamilton ‘benci’ untuk berunding kontrak Formula Satu (F1) secara langsung antara satu sama lain, walaupun mereka mempunyai hubungan peribadi yang sangat rapat.
Hamilton menyertai Mercedes pada 2013 dan menjadi watak utama kebangkitan pasukan itu sebagai kuasa dominan dalam sejarah F1, memenangi enam kejuaraan dunia dalam lapan tahun pertamanya bersama pasukan Brackley.
Sepanjang tempoh itu, Hamilton membina hubungan peribadi yang kukuh dengan Wolff dan mereka kekal akrab walaupun selepas perpindahan Hamilton ke Ferrari pada musim ini.
Namun Wolff menjelaskan bahawa persahabatan inilah yang menjadikan perbincangan kontrak menjadi janggal, menyebabkan rundingan berlarutan selama beberapa bulan.
Tidak seperti kebanyakan pemandu lain, Hamilton lebih gemar berunding sendiri berbanding menggunakan ejen dan itu bermakna dia perlu meluangkan banyak masa bersama Wolff di luar litar untuk mencapai persetujuan terma kontrak.
“Ia sentiasa menjadi lebih rumit apabila anda berunding dengan seseorang yang merupakan sekutu anda. Seseorang yang matlamatnya sangat hampir dengan anda.
“Sebagai contoh, saya dan Lewis memang sentiasa menjadi satu masalah. Kami bersahabat selama dua setengah tahun, kami sentiasa sependapat, kami berkongsi kehidupan peribadi dan segalanya.
“Kemudian datanglah tempoh dua bulan untuk berunding. Kami berdua benci perkara itu. Kenapa? Kerana dalam situasi itu, anda mungkin tidak akan bersetuju.
“Akhirnya kami membuat keputusan untuk membawa masuk seseorang yang khusus untuk urusan ini dan semuanya selesai dalam beberapa hari,” katanya. – AGENSI