PETALING JAYA: Pelari jarak jauh negara, Wan Muhammad Fazri Wan Zahari tekad mahu memperbaiki catatan terbaiknya dalam Kejohanan Olahraga Terbuka India di Stadium Kalinga, Bhubaneswar bermula Ahad ini.
Fazri yang turut beraksi di Sukan Universiti Dunia (WUG) Rhine-Ruhr pada bulan lalu berkata, dia tidak berpuas hati dengan pencapaiannya di kejohanan tersebut meskipun masih berada di bawah catatan 1 minit 50 saat (s).
Atlet berusia 24 tahun itu melakukan catatan 1:49.87s dalam acara 800 meter (m) di kejohanan itu berbanding masa terbaiknya musim ini 1:47.64s ketika beraksi di Kejohanan Olahraga Asia (ATF) 2025 di Gumi, Korea Selatan, Mei lalu.
“Saya punya sasaran nak lebih konsisten dengan catatan masa kerana pencapaian saya di Jerman merundum walaupun ia masih di bawah 1:50s tapi tidak memuaskan hati saya.
“Paling tidak saya kena buat 1:47s sebab itu catatan terbaik saya musim ini. Jadi, sasaran saya di India saya nak perbaiki catatan terbaik saya supaya lebih konsisten. Dapatkan kelajuan dan perbaiki larian.
“Kalau dapat pingat itu saya kira bonus. Tak kisah warna apa pun,” katanya.
Di India, Fazri dijangka menerima tentangan sengit antaranya daripada wakil tuan rumah dan pemenang pingat perak Sukan Asia 2022, Mohammed Afsal Pulikkalakath.
“Semua pelari pencabar saya kerana catatan masa kami tidak jauh beza, pelari dari Filipina, Hussein Lorana yang paling hampir dengan saya,” katanya. – UTUSAN