Teruja pilih baju raya sendiri walaupun tak dapat melihat

Teruja pilih baju raya sendiri walaupun tak dapat melihat

KADHAR Shah Abdul Razak (tengah) membantu Nur Layli Adi Mesra (kiri) dan Mohd. Hakimi Mohd. Zainol (kanan) memilih baju raya yang sesuai di sebuah pasar raya di Bukit Mertajam, Pulau Pinang, petang semalam.-UTUSAN/DANIAL SAAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BUKIT MERTAJAM : Seorang wanita yang menghadapi masalah penglihatan sejak lahir teruja apabila diberi kebebasan untuk memilih baju raya sendiri walaupun pemilihan itu hanya dibuat melalui sentuhan sahaja.

Nur Layli Adi Mesra, 32, berkata, ini kali pertama dia berpeluang berbuat demikian kerana sebelum ini, semua baju raya miliknya dibelikan oleh keluarga secara dalam talian sahaja.

“Dahulu, saya cuma beritahu (keluarga) nak warna apa (baju raya) dan mereka akan beli ikut kemahuan saya. Alhamdulillah, kali ini, saya boleh pilih baju raya sendiri.

“Walaupun saya memang tidak nampak secara fizikal, tetapi, saya tetap gembira dan puas hati kerana berpeluang memegang serta merasai sendiri jenis kain yang digunakan untuk membuat baju raya itu sebelum membeli.

“Lebih manis, tahun ini juga saya berpeluang memakai baju raya sedondon dengan suami (Mohd. Hakimi Mohd. Zainol, 48) yang senasib dengan saya (menghadapi masalah penglihatan),” katanya yang tinggal di Taman Ciku, di sini.

Pasangan yang berasal dari Perlis itu merupakan sebahagian daripada 80 orang kurang upaya (OKU) termasuk kanak-kanak yang diraikan oleh syarikat Nasmir Holding Sdn. Bhd. menerusi Yayasan Al-Nasmir untuk memilih baju raya sendiri di sebuah pasar raya di sini, petang semalam.

Satu lagi pasangan suami isteri, Abu Hassan Mahmud, 46, dan Nur Emida Robi, 38, yang juga OKU cacat penglihatan turut berkongsi perasaan yang sama selepas berpeluang memilih baju raya mereka sendiri kali ini.

Menurut Abu Hassan, sebelum ini, segala urusan pembelian baju raya dan persiapan Aidilfitri dilakukan oleh anak tunggal mereka, Muhammad Arif Haikal yang kini berusia 13 tahun.

“Antara kami bertiga, hanya anak (Muhammad Arif) seorang sahaja yang boleh melihat secara normal. Jadi, kami serahkan kepada dia untuk memilih bagi pihak saya dan isteri,” katanya yang bersyukur kerana sumbangan baju raya itu turut meringankan beban mereka dalam membuat persiapan Aidilfitri.

Sementara itu, Pengarah Urusan Nasmir Holding, Datuk Kadhar Shah Abdul Razak berkata, selain menerima sumbangan baju raya, kesemua 80 penerima yang terpilih itu turut menerima sumbangan duit raya sebagai tanda penghargaan daripada pihak Nasmir.

“Secara keseluruhannya, kami menyasarkan untuk mengagihkan pelbagai bantuan raya kepada sehingga 2,800 penerima pada tahun ini,” katanya yang memberitahu, Nasmir turut menganjurkan program berbuka puasa di 72 buah masjid sepanjang Ramadan ini.-UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN