TUDM guna pesawat tanpa pemandu ANKA tahun depan

TUDM guna pesawat tanpa pemandu ANKA tahun depan

MOHAMED KHALED NORDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Tiga pesawat tanpa pemandu (UAS), MALE UAS ANKA buatan Turkish Aerospace Industries (TAI) dari Turkiye dijangka mula memasuki perkhidmatan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) pada Februari tahun depan.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, penerimaan tersebut memberi nilai tambah terhadap kuasa udara terutama dalam aspek pemantauan dan risikan.

Katanya, penerimaan MALE UAS ANKA juga dapat meningkatkan keberkesanan pemantauan secara masa nyata, penyaluran maklumat pantas serta tindak balas lebih cekap.

“Teknologi dron mampu memperkukuh keupayaan pemantauan, pengawasan dan kawalan keselamatan di kawasan sempadan darat, perairan mahupun ruang udara,” katanya dalam jawapan bertulis di laman web Parlimen hari ini.

Mohamed Khaled menjawab soalan Datuk Khlir Mohd. Nor (PN-Ketereh) sama ada kementerian bercadang menggunakan teknologi dron secara optimum dalam pemantauan sempadan serta cabaran utama pelaksanaannya supaya pelaburan teknologi benar-benar meningkatkan keselamatan dan kecekapan kawalan di sempadan negara.

Penerimaan tersebut merupakan sebahagian komitmen berterusan Kementerian Pertahanan di bawah Pelan Strategik Pembangunan TUDM 2055 (CAP55)

Selain MALE UAS ANKA, TUDM juga akan menerima pesawat tempur ringan (LCA) FA-50M pada 2026 diikuti pesawat rondaan maritim P-72M, radar pertahanan udara generasi baharu dan helikopter pengangkut.

Beliau berkata, Kementerian Pertahanan juga akan terus memperkukuh kerjasama strategik dengan rakan industri dan agensi berkaitan, membangunkan kepakaran tempatan serta memastikan pemindahan teknologi yang berkesan.

“Selain itu, kerajaan akan mempertingkat latihan dan persijilan operator agar pelaburan teknologi dron benar-benar memberikan impak maksimum kepada sistem pertahanan dan keselamatan persempadanan negara,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN