KUALA LUMPUR: Sebuah Jawatankuasa Khas rentas parti wajar ditubuhkan bagi meneliti jurang pencapaian sasaran Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) dan meneroka langkah-langkah pelaksanaan yang lebih berkesan di masa hadapan.
Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, tidak salah sekiranya Perdana Menteri mengambil satu langkah kebelakang untuk bermuhasabah, menilai pencapaian RMK12 yang dibentangkan pada 2021, sebelum angka baharu dipersembahkan dalam RMK13.
“Sepanjang Ahli Parlimen Tambun menjadi Perdana Menteri, pertumbuhan agregat Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) dari 2023 hingga 2025 hanyalah sekitar 4.3 peratus, iaitu di bawah sasaran minimum 4.5 peratus dalam RMK12.
“Sebagai contoh, pada 2023 KDNK hanyalah 3.6 peratus, pada 2024 pula 5.1 peratus dan setakat ini sekitar 4.4 peratus bagi tempoh separuh pertama tahun 2025.
“Maka, atas prinsip ketelusan dan kebertanggungjawaban, Perdana Menteri dan anggota jemaah menteri harus ‘walk the talk’, jelaskan kepada rakyat, apa sebenarnya yang berlaku,” katanya ketika membahaskan RMK13 di Dewan Rakyat, hari ini.
Beliau yang juga Ahli Parlimen Larut berkata, ketika pentadbiran Perikatan Nasional (PN), KDNK berjaya melonjak tinggi hasil dasar-dasar serta Pakej Rangsangan Ekonomi yang diperkenalkan ketika itu.
“Ini bermakna pertumbuhan KDNK boleh melonjak jauh lebih tinggi daripada sasaran seandainya kerajaan pada ketika itu tahu apa yang perlu dilakukan dengan memperkenalkan dasar ekonomi dan strategi memperkukuh keyakinan pelabur.
“Ini bukanlah persoalan sama ada pertumbuhan itu adalah kerana asas yang rendah (lower base) tahun sebelumnya.
“Serendah apapun angka ‘lower base’ itu, sekiranya tiada kebijakan dan keupayaan menguruskan ekonomi, belum tentu angka 8.7 peratus boleh dicapai,” katanya.-UTUSAN










