SEREMBAN: Proses keanggotaan tetap Timor-Leste dalam ASEAN kini di peringkat akhir dokumentasi sebelum diterima secara rasmi sebagai anggota penuh pada Sidang Kemuncak ASEAN yang dijadualkan Oktober ini.
Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, semua negara anggota ASEAN termasuk Timor-Leste sedang dalam proses mematuhi beberapa dokumen perundangan yang diperlukan bagi keanggotaan penuh, termasuk dokumen yang memerlukan kelulusan Parlimen masing-masing.
“Pada Sidang Kemuncak ASEAN Oktober nanti, akan diadakan satu upacara untuk menerima Timor-Leste sebagai ahli tetap ASEAN. Cumanya sekarang ini di peringkat dokumentasi sahaja,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Mesyuarat Wanita, Pergerakan Pemuda dan Puteri UMNO Bahagian Rembau di sini, hari ini.
Menurut beliau, walaupun Timor-Leste merupakan negara baharu dengan populasi kecil, negara itu berada dalam zon ASEAN dan sewajarnya menjadi anggota tetap.
“Namun, prosesnya memakan masa kerana beberapa keperluan perlu dipenuhi.
“Kebanyakan peraturan telah Timor-Leste patuhi. Maka kita sudah ambil keputusan dalam Sidang Kemuncak ke-46 tempoh hari untuk menerima Timor-Leste. Kita pun tidaklah mahu supaya mereka mematuhi 100 peratus, sebab ada syarat yang susah dipenuhi,” katanya.
Katanya, ASEAN memutuskan untuk menerima Timor-Leste terlebih dahulu sebagai anggota tetap dan akan memberi masa serta bantuan untuk negara itu melengkapkan dokumentasi serta memenuhi syarat-syarat yang belum dipenuhi.
Sebelum ini, media melaporkan pemimpin-pemimpin Asia Tenggara bersetuju secara prinsip untuk menerima Timor-Leste sebagai anggota ke-11 ASEAN, tertakluk kepada pematuhan beberapa syarat akhir yang sedang dalam proses penilaian.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim turut memaklumkan bahawa semua pemimpin ASEAN telah mencapai kata sepakat untuk menyokong Timor-Leste dalam mengambil langkah-langkah yang perlu bagi menyertai blok serantau itu secara rasmi.
Timor-Leste mula memohon keanggotaan ASEAN pada tahun 2011 dan telah diberikan status pemerhati pada mesyuarat peringkat tinggi ASEAN pada 2022. – UTUSAN









