KUALA LUMPUR: Thailand menguasai sepenuhnya aksi Kelayakan Kejohanan ASEAN Maybank 2025 apabila kelima-lima slot ke kejohanan berprestij bernilai AS$3 juta(RM 12.6 juta) itu dibolot pemain negara Gajah Putih.
Bintang remaja, Kritchanya Kaopattanaskul, 17, muncul juara selepas mengumpul 137 pukulan, tujuh bawah par, sekali gus melayakkannya beraksi di Kejohanan Maybank pada 30 Oktober hingga 2 November ini di Kuala Lumpur Golf & Country Club (KLGCC).
Lebih manis, pusingan pertamanya diserikan dengan hole-in-one pertama dalam kariernya.
Tempat kedua dimenangi Achiraya Sriwong (amatur) dengan 139 pukulan, diikuti Namo Luangnitikul (amatur) di tangga ketiga.
Cholcheva Wongras dan Kan Bunnabodee pula berkongsi kedudukan keempat untuk melengkapkan sapuan bersih Thailand.
Wakil tuan rumah, Ng Jing Xuen dan Genevieve Ling terlepas slot tipis satu pukulan, masing-masing berkongsi tempat keenam.
Edisi kali ini menyaksikan 69 peserta dari seluruh ASEAN berentap, hampir dua kali ganda berbanding 35 peserta tahun lalu, memburu lima tiket ke kejohanan utama LPGA itu.
Maybank turut mengumumkan kejutan apabila pemain jemputan ASEAN terbaik di kejohanan Oktober ini akan menerima tiket ‘emas’ menyertai satu acara Siri Epson LPGA 2026, platform pembangunan rasmi menuju LPGA Tour.
“Ini kejohanan profesional pertama saya di luar Thailand. Saya gembira dan berharap dapat mengulangi prestasi seperti di kelayakan ini,” kata Kritchanya.
Kejohanan Maybank yang kini memasuki edisi ketiga telah menarik nama besar dunia seperti Nelly Korda, Jeeno Thitikul, Grace Kim dan Ayaka Furue, dengan juara terdahulu Celine Boutier (Perancis) dan Ruoning Yin (China) menjulang trofi berprestij Tiger Trophy.-UTUSAN