PETALING JAYA: Filipina muncul sebagai pendahulu kategori individu dan berpasukan lelaki selepas tamat pusingan pertama Kejohanan Golf Remaja Antarabangsa Selangor edisi kelima yang berlangsung di Kelab Golf Seri Selangor, semalam.
Wakil Filipina, David Charles Serdenia mendahului kategori individu lelaki, selepas mencatat pusingan terbaik hari ini dengan 68 pukulan yang merangkumi satu eagle, lima birdie dan tiga bogey.
Pemain berusia 17 tahun itu mengakui padang Seri Selangor mencabar dan memerlukan kekuatan mental yang tinggi.
“Saya berada enam bawah par sebelum dua lubang terakhir, tetapi keletihan menyebabkan saya melakukan dua bogey. Green agak mencabar, namun saya berpuas hati dengan prestasi putting hari ini,” katanya.
Serdenia mendahului satu pukulan di hadapan juara individu dan berpasukan lelaki 2024 dari China (Hainan), Shijun Jing, manakala Koshin Nagasaki dari Jepun menghuni tempat ketiga.
Dalam acara individu wanita, Park Hyorin dari Korea Selatan mendahului carta selepas mencatat satu bawah par 71, tiga pukulan di hadapan pemain Jepun, Meguri Irikura.
Dalam acara berpasukan lelaki, Jepun dan Filipina berkongsi kedudukan teratas selepas masing-masing mencatat satu bawah par 215, menggunakan format tiga skor terbaik daripada empat pemain.
Pasukan Jepun yang dibarisi Koshin Nagasaki, Kouta Inoue dan Sakutoshi Yamazaki berjaya mengutip kedudukan pendahulu bersama meskipun terpaksa beraksi tanpa seorang pemain susulan penarikan diri Ryota Hayashida akibat sakit.
Filipina pula dipacu oleh persembahan cemerlang Serdenia yang mencatat empat bawah par 68, dibantu Gabriel Hernandez , Shinichi Suzuki dan Ralph Rian Batican.
Pasukan kebangsaan Malaysia yang diwakili Andrew Yap, Ezekiel Ritz Hafi Suzearitz, Anthony Lim dan Aiden Tai John Roberts masih berpeluang untuk mencabar selepas mencatat dua atas par 218, terikat bersama Korea Selatan dan Thailand.
Dalam acara wanita pula, Korea Selatan mendahului carta berpasukan selepas Park Hyorin, Han Taein, You Roha dan Jeon YuhYun mengumpul jumlah lapan atas par 224, tiga pukulan di hadapan Thailand.
Pasukan Program Pembangunan Remaja Kebangsaan Persatuan Golf Malaysia (MGA) yang dibarisi Amelia Lee, Ngo Yi Belle, Amberly Zaira Zamri dan Siti Nur Husna Aina Abdul Karim Nast berada di kedudukan ketiga dengan 12 atas par 228.
Kejohanan yang disenaraikan dalam Kedudukan Golf Amatur Dunia (WAGR) itu disertai 115 pemain berusia antara 12 hingga 19 tahun dari 11 negara dan berlangsung selama 54 lubang dengan mempertandingkan kategori individu serta berpasukan lelaki dan wanita.
Kejohanan itu dianjurkan oleh UUM International School Melaka dengan kerjasama Persatuan Golf Malaysia serta mendapat tajaan penuh Kerajaan Negeri Selangor, sekali gus menjadi platform penting dalam pembangunan bakat muda golf di peringkat antarabangsa. – UTUSAN










