Tarozzi senjata rahsia Bardiani

Tarozzi senjata rahsia Bardiani

Tarozzi juga tampil dengan reputasi segar apabila menjuarai Raja Bukit Tirreno Adriatico awal musim ini serta menamatkan klasifikasi Raja Bukit Giro di kedudukan keempat.-IHSAN PLTdL25
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Nama Manuele Tarozzi kembali menjadi sebutan menjelang perlumbaan berprestij PETRONAS Le Tour de Langkawi 2025 (PLTdL25) apabila pelumba VF Group-Bardiani CSF-Faizane itu sekali lagi menjadi taruhan utama pasukan Itali berkenaan.

Tarozzi, 27, yang mencuri tumpuan tahun lalu selepas menjuarai Peringkat 6 meskipun bukan pakar pecut, kini dilihat sebagai sandaran terbaik untuk memburu jersi hijau keseluruhan tajaan PETRONAS.

Lebih menarik, laluan Peringkat 5 dari Temerloh ke Bukit Fraser bakal menguji kepakaran mendaki pelumba kelahiran Faenza itu yang sudah dua kali menyertai Giro d’Italia.

Tarozzi juga tampil dengan reputasi segar apabila menjuarai Raja Bukit Tirreno Adriatico awal musim ini serta menamatkan klasifikasi Raja Bukit Giro di kedudukan keempat.

Mengiringi misi Tarozzi ialah dua lagi pendaki, Luca Covili dan Alex Tolio yang bakal memberi sokongan penuh.

Covili bukan asing di bumi Malaysia selepas beraksi dalam PLTdL23, manakala Tolio pula membuktikan keampuhannya dengan kedudukan keenam keseluruhan di Tour of Qinghai Lake 2025.

Sementara itu, Mattia Pinazzi, Enrizo Zanoncello dan Lorenzo Conforti akan mengetuai cabaran di laluan landai.

Pinazzi yang tiga kali menghuni tempat keempat pada edisi lalu pastinya mengidam podium, manakala Zanoncello, bekas pelumba Cofidis yang turut beraksi di Giro tahun ini, juga diharap mampu menambah sengat.

Ketua Pegawai Operasi PLTdL25, Emir Abdul Jalal optimis Bardiani mampu mengembalikan aura yang pernah menjadikan mereka pasukan digeruni di Asia.

“Pasukan ini pernah mendominasi edisi 2005 apabila merangkul tujuh daripada 10 peringkat, termasuk lima menerusi Graeme Brown dan dua oleh Guillermo Bongiorno. Peminat lumba basikal pasti masih ingat kehebatan ‘keretapi oren’ mereka.

“Dengan kekuatan tiga pelumba pecut serta barisan pendaki berpengalaman, tidak mustahil Bardiani mampu mencipta kejutan besar sekali lagi,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN