CINCINNATI: Bintang tenis No. 1 dunia, Jannik Sinner menegaskan dia bersedia untuk mempertahankan gelaran Terbuka Amerika Syarikat (AS) selepas masalah kesihatan memaksanya menarik diri daripada final Terbuka Cincinnati, hari ini.
Sinner menentang Carlos Alcaraz pada aksi final itu mengaku kalah selepas ketinggalan 5-0 dalam set pertama.
Pemain dari Itali itu tidak bercakap dengan wartawan selepas kekalahan tersebut, sebaliknya mengeluarkan kenyataan bahawa dia akan bertanding di Terbuka AS dekat New York di mana undian utama acara perseorangan bakal bermula Ahad ini.
“Saya sangat menyukai kejohanan Grand Slam, ia merupakan kejohanan utama untuk musim dan kerjaya saya.
“Terbuka AS akan menjadi kejohanan yang sukar tetapi pada masa yang sama, saya menantikannya jika saya bersedia secara fizikal dan mental.
“Saya akan bersedia untuk berjuang…sekarang beberapa hari untuk pemulihan kemudian kita kembali berlatih dan harapnya saya akan bersedia.
“(Terbuka AS) sudah pasti matlamat utama di AS. Buat masa sekarang, pemulihan adalah yang paling penting,” kata Sinner. – AFP