KUALA LUMPUR: Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) terus komited memperkukuh ekosistem penyelidikan negara dengan menjadikan Anugerah Saintis Muda Negara 2025 sebagai platform utama menghubungkan saintis muda dengan pemain industri dan institusi penyelidikan.
Menterinya, Chang Lih Kang berkata, penyelidik tidak boleh bergerak secara bersendirian, sebaliknya memerlukan kerjasama pelbagai pihak bagi memperkukuh ekosistem penyelidikan negara.
“Ini merupakan inisiatif untuk mengiktiraf saintis muda dan pada masa sama menghubungkan mereka dengan pemain industri serta institusi penyelidikan supaya wujud kerjasama yang lebih kukuh pada masa hadapan.
“Dalam bidang sains, kita tidak boleh bekerja secara sendiri (silo). Kita mesti bekerjasama dan anugerah ini menjadi platform untuk menyatukan saintis, industri dan institusi penyelidikan” katanya dalam sidang akhbar pada Majlis Penyampaian Anugerah Saintis Muda Negara Tahun 2025 di Hotel Seri Pacific di sini, hari ini.
Menurutnya, MOSTI bersedia memberi keutamaan dalam menyediakan laluan pembiayaan bagi memastikan projek berimpak tinggi dapat diterus dan dikembangkan selepas pertandingan.
“MOSTI juga akan meneliti projek-projek R&D yang dibangunkan oleh pemenang. Jika bersesuaian dan mereka membuat permohonan, kita bersedia mempertimbangkan pembiayaan bagi membantu mengembangkan penyelidikan mereka,” katanya.
MOSTI turut berhasrat melaksanakan pengiktirafan berterusan bagi memastikan penerima anugerah diberi peluang membentangkan hasil penyelidikan mereka di pentas antarabangsa termasuk pada persidangan seperti ICELS, ICMRSI dan Sci4Life Conference 2025.
Menurut Lih Kang, peranan saintis muda dalam bidang penyelidikan perlu diberi perhatian kerana mereka merupakan pelapis yang bakal memacu pembangunan sains, teknologi dan inovasi negara pada masa hadapan.
“Saintis muda memainkan peranan yang sangat penting. Mereka biasanya mempunyai semangat yang tinggi dan berani membuat andaian atau analisis sains dan inilah yang membantu memacu pembangunan sains, teknologi dan inovasi negara,”ujarnya.
Majlis turut menyaksikan pengiktirafan Anugerah Saintis Muda Negara 2025 kepada lima penyelidik muda cemerlang dalam lima kategori utama merangkumi Biologi, Fizik, Kimia, Perubatan dan Kejuruteraan sebagai pengiktirafan terhadap sumbangan mereka dalam bidang sains, teknologi dan inovasi (STI).
Mengulas program STI 100 on the Power of Three (STI 100³), Lih Kang berkata, program itu menerima sambutan yang amat memberangsangkan daripada pelajar serta pihak sekolah.
“Program tersebut tidak berbentuk pertandingan tetapi bertujuan mengumpul minat pelajar terhadap bidang sains dan STEM. Setakat ini, sambutannya amat menggalakkan daripada pelajar dan sekolah,” katanya.
Tambahnya, bagi pelajar sekolah rendah dan menengah pula, pendekatan berasaskan pendedahan awal dan aktiviti praktikal menjadi keutamaan agar minat terhadap sains dapat dipupuk sejak peringkat awal persekolahan.
“MOSTI juga mempunyai pelbagai inisiatif lain seperti Malaysia Techlympics 2025 dan Minggu Sains Negara bagi menarik lebih ramai pelajar sekolah rendah dan menengah mendekati bidang STI.
“Dalam Minggu Sains Negara, kita turut melaksanakan program khusus untuk kawasan luar bandar seperti Rela Sains, Kemarap dan Sains Borneo supaya pendedahan STI dapat dinikmati secara lebih menyeluruh,” katanya. – UTUSAN









