Segamat gempa lagi?

Segamat gempa lagi?

SEBAHAGIAN penduduk daerah Segamat dikejutkan dengan gempa bumi lemah susulan yang ketiga pagi ini selepas 72 jam gegaran pertama pada Ahad lalu
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEGAMAT: Sebahagian penduduk daerah ini dikejutkan dengan gegaran gempa bumi lemah buat kali ketiga pagi tadi, selepas insiden pertama berlaku pada Ahad lalu dan disusuli gegaran kedua sehari kemudian.

Menurut salah seorang penduduk, Shahana Suanda, 27, dia merasai gegaran tersebut kira-kira pukul 9.06 pagi ini ketika berada di rumah.

“Saya berada dalam bilik air ketika itu dan ibu saya berada di luar rumah. 

“Tiba-tiba terasa ada gegaran dan dentuman tetapi sedikit jauh bunyinya berbanding gegaran pada pertama kali Ahad lalu.

“Saya dan ibu saya berasa terkejut dengan gegaran itu tetapi ia tidak berlaku lama seperti dua ke tiga saat sahaja.

“Saya terus mendapatkan ibu saya bersama anak saya diluar rumah untuk memastikan mereka dalam keadaan selamat,”katanya ketika ditemui di Kampung Batu 5, Buloh Kasap hari ini.

Tambah Shahana, dia tidak menyangka gempa bumi lemah itu berulang kembali selepas tiga hari kejadian pertama. 

Bagi Rahidah Zakariah, 38, dia juga mengalami pengalaman yang sama pagi ini merasa gempa bumi lemah di kediamannya di Kampung Kadut.

“Sewaktu kejadian, saya sedang masak di  dapur seorang diri. 

“Tiba-tiba ada bunyi macam guruh kedengaran dan atap rumah bergegar. Saya juga terasa getaran atas lantai yang dipijak.

“Saya terus mendapatkan suami dan bertanya ada gempa bumi lagi ke? Suami saya ada rasa yang sama dengar bunyi detuman bumi terasa bergegar tapi sedikit jauh gegarannya berbanding yang pertama hari Ahad lalu,” katanya.

Sementara itu, Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) setakat ini belum mengeluarkan pengesahan rasmi berhubung gegaran ketiga yang dilaporkan penduduk.

Pada Ahad lalu, Segamat mencatat sejarah tersendiri apabila berlakunya gempa bumi lemah berkekuatan 2.9 magnitud pada jam 8.34 pagi, disusuli gegaran kedua keesokan harinya.

Insiden berulang ini mencetuskan kebimbangan kerana kawasan itu sebelum ini tidak pernah dilaporkan mengalami gempa bumi, sekali gus menimbulkan persoalan tentang faktor geologi setempat. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN