SPIELBERG: Pelumba Aprilia, Jorge Martin mengakui dia perlu lebih agresif ketika berlumba dalam kelompok pertengahan MotoGP selepas kehilangan kedudukan awal pada Grand Prix (GP) Austria, Ahad lalu.
Juara dunia bertahan itu masih cuba mengejar setelah terlepas ujian pramusim dan sepuluh pusingan akibat kecederaan, melonjak dari petak ke-14 ke dalam kelompok sepuluh teratas pada pusingan pembukaan di Red Bull Ring.
Namun, Martin segera disingkirkan semula ke kedudukan asalnya.
“Saya memulakan perlumbaan dengan sangat baik. Tetapi kemudian saya terlalu berhati-hati.
“Macam, ‘okey, saya di tempat kesembilan. Saya di tempat yang baik, jadi tunggu saja dan rentak saya akan membantu’. Tapi sebaik saja saya fikir, ‘relaks’, semua orang mula langgar saya! Ia jadi sangat huru-hara dengan ramai pelumba lain.
“Saya jatuh kembali ke tempat ke-14, jadi saya cuba untuk bangkit semula.
“Saya tidak biasa dengan situasi itu, jadi saya bergelut bila berada dalam kedudukan seperti itu. Saya juga kekurangan pengalaman dalam dua pusingan pertama perlumbaan. Saya gagal untuk lebih agresif dengan pelumba lain. Sama ada anda potong mereka atau mereka potong anda.
“Saya pasti di Hungary (Ahad ini) saya akan lebih agresif dalam pusingan awal,” kata Martin yang tidak menamatkan perlumbaan di Austria. – AGENSI