MELAKA: Kerajaan Negeri Melaka digesa menyatakan pendirian rasmi terhadap Rang Undang-Undang (RUU) Pembaharuan Semula Bandar (URA) selepas mendapat RUU itu mendapat bantahan daripada pelbagai pihak.
Ketua Pembangkang Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka, Dr. Mohd. Yadzil Yaakub berkata, walaupun RUU itu disasarkan untuk pembangunan semula kawasan bandar tetapi ia berpotensi menceroboh hak milik rakyat terutama yang memiliki kediaman di sekitar bandar Melaka, Bukit Cina, Kampung Jawa, Kampung Morten dan kawasan tradisi lain.
Justeru katanya, satu kertas dasar khusus perlu dibentangkan Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ab. Rauf Yusoh pada Sidang DUN akan datang.
“Kami menggesa Ketua Menteri membawa isu ini pada sidang DUN dan membentangkan bagaimana URA akan atau tidak akan diguna pakai di negeri ini. Rakyat mesti diberi hak untuk menyuarakan pandangan mereka melalui libat urus awam.
“Kerajaan negeri mesti mengadakan forum dan sesi dialog terbuka melibatkan pemilik rumah, pertubuhan bukan kerajaan (NGO), arkitek warisan, peguam dan pihak berkepentingan lain. Hentikan rundingan awal sehingga ada jaminan undang-undang hak pemilik sedia ada akan dipelihara sepenuhnya,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.
Utusan Malaysia melaporkan, kerajaan tetap meneruskan pembentangan bacaan kali kedua Rang Undang-Undang (RUU) Pembaharuan Semula Bandar (URA) di Parlimen pada Khamis walaupun terdapat bantahan daripada pelbagai pihak termasuk ahli Parlimen pembangkang.
RUU tersebut merupakan antara inisiatif kerajaan Pusat bagi mempercepat pembangunan semula kawasan bandar lama dan uzur.
Yadzil berkata, usaha itu penting kerana sebahagian besar kawasan bandar terletak di tapak warisan atau kawasan bersejarah bernilai tinggi.
Menurutnya, sekiranya URA dilaksanakan secara membuta tuli tanpa garis panduan khas maka warisan budaya akan terhapus dan penduduk asal di sesuatu kawasan akan digantikan.
“Selain itu, pemaju akan mendapat manfaat lebih besar daripada pemilik sebenar tanah. Kami mengulangi bahawa apa-apa pembangunan tidak harus mengorbankan komuniti asal dan pemilikan di atas tanah sendiri harus dipertahankan.
“Sekiranya kerajaan negeri berdiam diri, kami tidak akan teragak-agak untuk membawa usul khas pada Sidang DUN Melaka untuk mendesak penjelasan penuh,” katanya. – UTUSAN










