MEMPHIS: Justin Rose meraih kemenangan sulung sejak 2023 selepas menewaskan J.J. Spaun di lubang penentuan ketiga pada Jelajah PGA Terbuka St. Jude di Tennessee, Amerika Syarikat (AS), semalam.
Pemain England itu memburu empat birdie berturut-turut di sembilan lubang terakhir sebelum menamatkan saingan dengan birdie di lubang playoff untuk mencatat 16 bawah par 264.
Spaun yang turut mengumpul 16 bawah par memaksa playoff selepas melakukan birdie di lubang 16 dan 17, termasuk putt sejauh 20 kaki pada pusingan akhir dengan catatan 65 pukulan.
“Ini adalah 90 minit terakhir yang menakjubkan. Saya tidak pernah berhenti percaya dan saya tahu jika mempamerkan permainan terbaik, saya mampu bersaing serta menang menentang pemain terbaik dunia,” kata Rose.
Rose yang memulakan hari satu pukulan di belakang pendahulu bangkit daripada dua atas par di sembilan lubang pertama untuk mencatat enam birdie dalam lapan lubang terakhir termasuk playoff.
Sebaliknya, Tommy Fleetwood sekali lagi berputih mata apabila mendahului dua pukulan dengan tiga lubang berbaki sebelum bogey di lubang 17 menyaksikan dia berkongsi tempat ketiga bersama Scottie Scheffler.
Fleetwood yang masih mencari kemenangan sulung selepas 162 penampilan di Jelajah PGA mengakui kecewa tetapi tetap melihat banyak perkara positif untuk dibawa ke kejohanan seterusnya. – AGENSI