PETALING JAYA: Peruntukan sebanyak RM67 bilion kepada sektor pendidikan dalam Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) disifatkan sebagai manifestasi iltizam Kerajaan Madani untuk melaksanakan reformasi menyeluruh terhadap sistem pendidikan negara.
Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, keutamaan dalam RMK13 diberikan kepada pendidikan prasekolah hingga peringkat menengah bagi memastikan kawal selia yang lebih berkesan dan menyeluruh dapat dilaksanakan.
“Sebahagian besar peruntukan ini akan diguna bagi pembinaan sekolah baharu, kerja baik pulih dan menaik taraf infrastruktur pendidikan di seluruh negara,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Katanya lagi, tumpuan juga diberikan kepada usaha meningkatkan kadar enrolmen murid, terutama di peringkat prasekolah dan menengah, sejajar dengan matlamat pendidikan inklusif dan sejagat.
Fadhlina menjelaskan, Rang Undang-Undang Pendidikan (Pindaan) 2025 yang telah diluluskan di Dewan Rakyat baru-baru ini menandakan permulaan ke arah mewajibkan pendidikan menengah, diikuti langkah seterusnya untuk mewajibkan pendidikan prasekolah.
“Pendidikan prasekolah yang diwajibkan pada usia lima tahun penting bagi menyediakan asas pembelajaran yang holistik kepada kanak-kanak. Justeru, lebih banyak kemudahan prasekolah Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) akan diwujudkan di seluruh negara,” katanya.
Selain itu, RMK13 turut memberi penekanan terhadap penguasaan bahasa Melayu dan Inggeris, pengukuhan STEM, Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET), serta peningkatan literasi digital termasuk teknologi kecerdasan buatan (AI).
“Bagi merealisasikan visi pendidikan masa depan, tumpuan juga akan diberikan kepada aspek pengambilan guru baharu, latihan persediaan, serta peningkatan kompetensi dan profesionalisme guru sedia ada,” katanya.
Menurut Fadhlina, peruntukan besar ini mencerminkan komitmen kerajaan untuk memastikan sistem pendidikan negara kekal relevan, berkualiti dan bersifat inklusif demi masa depan generasi akan datang. – UTUSAN










