PETALING JAYA: Seorang wanita warga Indonesia menetap di Malaysia mencuri perhatian apabila menyatakan rasa kagum terhadap kerajaan negara ini yang disifatkan lebih prihatin terhadap kebajikan rakyat.
Menerusi hantaran video dimuat naik di aplikasi Tiktok, pemilik video tersebut menyenaraikan beberapa kemudahan dinikmati rakyat Malaysia antaranya harga minyak murah dan tidak disalahgunakan oleh pihak atasan manakala kemudahan lain yang menjaga kebajikan rakyat.
Pemilik akaun Tiktok tersebut @kesukaansofi berkata, Malaysia mempunyai sistem tol dengan kadar berpatutan, harga tiket penerbangan domestik tidak terlalu mahal selain cuti umum pada sambutan Hari Kebangsaan yang diraikan bersama rakyat.
Dia berkata, sistem pencen di negara ini dilihat lebih teratur dengan wujudnya simpanan persaraan melalui Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) yang terjamin dan perkhidmatan pengangkutan awam lebih baik serta teratur.
“Sudut pandang apabila tinggal di negara kerajaan yang peduli rakyat. Tinggal di Malaysia. Rakyat diberi perhatian, kalau di Indonesia bagaimana?” tulis wanita berkenaan akaun media sosialnya.
Video berkenaan telah tular di media sosial dan menerima 71,000 tontonan dan 4,333 tanda suka.
Hantaran tersebut mendapat pelbagai reaksi daripada pengguna TikTok dari negara Indonesia termasuk rakyat Malaysia sendiri yang meluahkan rasa syukur dan bangga dengan kemudahan yang ada.
“Sebagai rakyat Malaysia, saya bangga dilahirkan di negara ini. Saya doakan semoga negara kita terus maju dalam semua perkara,” komen pengguna TikTok Zaleyka.
“Padahal berjiran tetapi kesejahteraan sangat berbeza,” tulis seorang lagi pengguna TikTok dari Indonesia dikenali MakhlukMarss.
Seorang lagi pengguna, @Brian92 turut menitipkan pesanan agar rakyat Indonesia yang merantau di Malaysia terus bersemangat dan dipermudahkan segala urusan di sini. – UTUSAN










