KUALA LUMPUR: Parti Sosialis Malaysia (PSM) menuntut Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) menyiasat tindakan polis yang didakwa tidak menjalankan siasatan menyeluruh terhadap sindiket penipuan membabitkan keldai akaun.
Timbalan Pengerusi PSM, S. Arutchelvan berkata, tuntutan itu susulan daripada laporan berhubung seorang remaja, Einstein Cornelius Herman, 19, yang menjadi mangsa keldai akaun selepas ditipu sindiket dengan tawaran pekerjaan.
Dakwanya, Einstein sebenarnya adalah mangsa tetapi dianggap scammer oleh pihak polis malah dipaksa mengaku bersalah di mahkamah bagi memudahkan urusan.
“Namun, selepas mengaku salah, dia dibawa dari satu balai ke balai lain dan direman kononnya untuk siasatan lanjut.
“Hakikatnya, tiada siasatan menyeluruh dijalankan kerana setiap balai hanya menyalin semula laporan terdahulu,” katanya semasa penyerahan memorandum di ibu pejabat Suhakam di sini hari ini.
Arutchelvan mendakwa, mangsa juga diarahkan membuka beberapa akaun bank dan syarikat di atas namanya sendiri oleh majikan dan dijanjikan gaji berjumlah RM2,500.
“Bagaimana bank boleh meluluskan seorang remaja 18 tahun (pada ketika itu) sebagai pengarah syarikat. Malah, dia hanya berjumpa individu bank tersebut di sebuah kafe dan akaun berjaya dibuka tanpa hadir ke bank,” katanya.
Sehubungan itu, Arutchelvan menggesa pihak berkuasa, termasuk Bank Negara Malaysia dan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) memantau perkara tersebut berhubung pembukaan akaun dan syarikat membabitkan remaja.
“Kami juga minta Suhakam menyiasat dakwaan penahanan berterusan secara roadshow, iaitu mangsa dibawa dari satu balai polis ke balai lain tanpa siasatan sewajarnya,” tambahnya.
Sementara itu, ibu mangsa, Wilhelmina Avila Beda mendakwa anaknya terus dibebani selepas diarahkan mengaku bersalah dan membayar denda di mahkamah.
“Perkara ini tidak pernah berlaku pada keluarga kami. Apabila polis minta anak saya mengaku bersalah dan membayar denda, saya fikir ia sudah selesai. Tetapi sebaliknya, selepas bayar denda dia dipanggil lagi ke balai polis,” katanya.
Tambahnya, anaknya juga terpaksa menyerahkan resit bayaran denda dan selepas itu dibawa ke beberapa balai polis lain untuk siasatan sehingga ditahan semula yang akhirnya melibatkan jumlah bayaran denda yang besar. – UTUSAN










