KUALA LUMPUR: Penganjuran Citra Nusa@Muzium: ASEAN Natives and Indigenous Festival 2025 menjadi platform penting dalam memperkasa naratif kepelbagaian budaya, seni dan warisan negara-negara ASEAN.
Timbalan Menteri Perpaduan Negara, K. Saraswathy berkata, penganjuran ini bertepatan dengan tema Kementerian Perpaduan untuk tahun 2025 iaitu Harmoni Dalam Kepelbagaian yang mengangkat nilai perpaduan melalui penghayatan terhadap warisan.
Menurutnya, festival ini membuktikan bahawa warisan budaya bukan sekadar khazanah lampau sebaliknya menjadi sumber inspirasi dan identiti yang perlu dikekalkan untuk generasi akan datang.
“Penganjuran ini memberi nilai tambah besar kepada institusi muzium sebagai platform arus perdana dalam memperkasakan naratif kepelbagaian dan warisan negara.
“Ia bukan sahaja menyemarakkan semangat perpaduan dan patriotisme malah mampu menyuburkan penghayatan masyarakat terhadap kekayaan budaya, sejarah dan alam semula jadi yang menjadi identiti nasional kita bersama,” katanya ketika merasmikan Citra Nusa@Muzium: ASEAN Natives and Indigenous Festival 2025 di Muzium Negara hari ini.
Beliau berkata, bersempena sambutan Hari Orang Asli Sedunia, festival ini membawa makna lebih mendalam terhadap usaha memperkasa komuniti peribumi, khususnya dalam aspek keadilan sosial, pengiktirafan budaya dan pemeliharaan identiti komuniti minoriti.
“Malaysia prihatin dalam memperjuangkan hak dan suara komuniti peribumi, bukan sahaja di peringkat nasional tetapi juga di ruang serantau dan global,” katanya.
Dalam pada itu, Saraswathy turut menyeru Muzium Negara untuk terus memperkukuh peranan Muzium Adat di Negeri Sembilan sebagai pusat rujukan dan peneraju dalam mempromosikan kepelbagaian warisan adat serta budaya etnik di Malaysia.
“Muzium ini mempunyai potensi besar untuk menjadi medan penceritaan yang inklusif, khususnya dalam mengetengahkan warisan adat etnik minoriti seperti komuniti Orang Asli dan kumpulan pribumi lain yang sering terpinggir dalam arus naratif kebangsaan.
“Saya yakin, dengan usaha berterusan, Muzium Adat bukan sahaja mampu memperkaya kefahaman masyarakat terhadap kekayaan adat dan nilai budaya, malah memainkan peranan penting dalam menyemai semangat perpaduan,” katanya.
u, Ketua Pengarah Jabatan Muzium Negara, Datuk Kamarul Baharin A.Kasim berkata, pihak Jabatan Muzium Negara (JMM) mensasarkan 10,000 pengunjung bagi penganjuran kali ini.
“Kami telah menghimpunkan komuniti Orang Asal dan peribumi dari seluruh negara seperti Melayu Proto, Senoi dan Negroto untuk memperkenalkan budaya mereka.
“Terdapat juga etnik dari negara ASEAN lain seperti etnik Karen di Thailand dan Eka di Filipina yang turut memeriahkan penganjuran kali ini,” katanya. – UTUSAN










