Pengiraan kemiskinan perlu ambil kira aset

Pengiraan kemiskinan perlu ambil kira aset

ABANG JOHARI OPENG
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Penilaian tahap kemiskinan di Sarawak tidak boleh dibuat hanya berdasarkan pendapatan tunai isi rumah semata-mata.

Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Openg berkata, pendekatan yang digunakan bekas Menteri Ekonomi, Datuk Seri Rafizi Ramli ketika itu tidak tepat kerana tidak mengambil kira pemilikan aset dalam kalangan rakyat.

“Saya nyatakan bahawa pengiraan itu tidak betul kerana ekonomi bukan sekadar apa yang kelihatan. 

“Pengiraan tahap kemiskinan perlu mengambil kira aset yang dimiliki isi rumah, bukan hanya pendapatan tunai,” katanya ketika merasmikan Jambatan Nanga Lasi di Julau, hari ini.

Sebelum ini, Rafizi dilaporkan berkata, enam negeri termiskin perlu berusaha mengurangkan jurang kemiskinan dengan negeri lain tanpa hanya bergantung kepada peruntukan tinggi daripada Kerajaan Pusat.

Enam negeri yang dimaksudkan ialah Sabah, Sarawak, Kelantan, Terengganu, Kedah dan Perlis yang menurutnya telah menerima peruntukan jauh lebih tinggi berbanding negeri lain sejak 2021.

Abang Johari juga menolak dakwaan Rafizi bahawa Julau antara daerah termiskin di Malaysia.

“Data yang digunakannya tidak menggambarkan keadaan sebenar dan saya mencadangkan kepada beliau supaya turun padang melihat sendiri situasi di sini. 

“Dalam menilai tahap kekayaan atau kemiskinan, asas ekonomi perlu digunakan iaitu jumlah aset dan tunai, bukan tunai sahaja,” katanya.

Menurutnya, ketika menjadi Menteri Perumahan Sarawak yang membangunkan kawasan Sibu Jaya, dan mendedahkan ramai pembeli rumah termasuk dari Julau membeli hartanah secara tunai.

“Ini sesuatu yang jarang berlaku dan mengejutkan pihak bank kerana ramai pembeli rumah ketika itu tidak menggunakan pinjaman sebaliknya mereka beli tunai hasil daripada pendapatan pertanian,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN