Pengadil sahut cabaran ‘zero isu’

Pengadil sahut cabaran ‘zero isu’

DATUK S.Sivasundaram mahu menyaksikan peningkatan prestasi pengadil selepas musim lalu menyaksikan markah cemerlang berjaya diraih secara keseluruhan.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Barisan pengadil Liga Malaysia (Liga M) bersedia menyahut cabaran Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) untuk memastikan musim 2025/2026 bebas daripada sebarang kontroversi berkaitan mutu pengadilan.

Cabaran itu disuarakan Timbalan Presiden FAM merangkap Pengerusi Jawatankuasa Pengadil, Datuk S. Sivasundaram yang mahu menyaksikan peningkatan prestasi pengadil selepas musim lalu menyaksikan markah cemerlang berjaya diraih secara keseluruhan.

Beliau menegaskan komitmen FAM dalam memperkasakan pengadil bukan sekadar retorik, sebaliknya disusuli pelbagai inisiatif termasuk latihan berterusan dan pemantauan rapi.

Pengadil berpengalaman, Nazmi Nasaruddin menyifatkan harapan yang dilontarkan FAM itu bukan satu tekanan tetapi motivasi untuk terus mempertingkatkan mutu kepengadilan dalam saingan domestik.

“Saya sangat tertarik dengan kenyataan daripada Datuk Sivasundaram kerana beliau memberi satu matlamat yang tinggi kepada semua pengadil. Itu bukan tekanan tetapi satu sasaran yang beliau mahukan daripada pengadil.

“Matlamatnya lagi tinggi kerana setiap tahun mahu kurangkan kesilapan daripada pengadil. Saya gembira dengan apa (hasrat) yang beliau nyatakan, jadi saya dan pengadil yang lain akan buat sebaik mungkin untuk hadapi liga pada tahun ini,” katanya.

Terdahulu, Sivasundaram berkata ketepatan keputusan pengadil di padang bagi musim lalu bertambah baik dengan kadar 98.07 peratus berbanding musim 2023-2024 dengan kadar 88.76 peratus.

Saingan Liga A1 Semi Pro yang menjadi liga kedua dalam hierarki Liga M ketika ini sudah membuka tirai bermula kelmarin, manakala saingan utama iaitu Liga Super akan bermula pada Jumaat ini dengan aksi Piala Sumbangsih antara Johor Darul Ta’zim (JDT) dan Selangor di Stadium Sultan Ibrahim. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN