LAUSANNE: Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS) mengesahkan satu perbicaraan tertutup bagi kes Crystal Palace menentang UEFA, Nottingham Forest dan Olympique Lyonnais akan berlangsung pada 8 Ogos ini.
Palace diturunkan ke pertandingan tahap ketiga, Liga Konferens UEFA oleh badan kawalan kewangan kelab UEFA (CFCB) dalam kes pemilikan pelbagai kelab, manakala Olympique Lyonnais dibenarkan beraksi dalam Liga Europa.
Eagle Football Group merupakan pemilik majoriti Lyon, sementara pengerusinya John Textor turut memiliki pegangan saham dalam Crystal Palace.
Textor kemudian melepaskan jawatannya dalam lembaga pengarah Lyon dan digantikan oleh Michele Kang yang dilantik sebagai pengerusi dan presiden baharu kelab Perancis itu.
Kelab dari London itu membuat rayuan terhadap keputusan tersebut dan CAS kini mengesahkan kes berkenaan akan didengar bulan depan.
Jika rayuan Palace gagal, tempat mereka dalam Liga Europa akan diisi oleh Nottingham Forest, yang menamatkan saingan di tangga ketujuh Liga Perdana Inggeris musim lalu.
Palace layak ke Liga Europa selepas menjuarai Piala FA musim lalu, manakala Lyon mara ke kejohanan itu dengan menamatkan kedudukan keenam dalam Ligue 1.
Kelab Perancis itu dibenarkan mengekalkan tempat mereka kerana kedudukan liga mereka lebih tinggi dalam saingan domestik masing-masing.
Tiada keputusan pada hari perbicaraan, namun pengumuman rasmi dijangka dibuat pada 11 Ogos ini. – AGENSI