PETALING JAYA: Pelari pecut wanita negara, Nur Aishah Rofina Aling tekad memperbaiki catatan peribadi (PB) apabila turun beraksi pada Jelajah Benua Olahraga Dunia di Odisha, India esok.
Atlet berusia 26 tahun itu menganggap kejohanan berstatus antarabangsa itu medan terbaik untuk menguji persiapan menjelang Sukan SEA hujung tahun ini.
Aishah berkata, tahun 2025 sudah membuahkan hasil selepas memperbaharui PB 11.80 saat (s) di Kejohanan Olahraga Siri Super Kuala Lumpur pada Mei lalu, namun mengakui masih banyak ruang untuk ditambah baik.
“Untuk kejohanan kali ini, saya harap saya dapat memperbaiki PB saya dan menggunakan peluang ini untuk berdepan pelari terbaik rantau ini.
“Persiapan ke Sukan SEA pun saya sekarang tengah on training, jadi saya harap saya dapat layak secara merit untuk acara 100 meter,” kata Aishah.
Bulan lalu, atlet kelahiran Sabah itu meraih emas acara reben biru berkenaan di Kejohanan Terbuka Thailand dengan catatan 11.92s tetapi jurulatihnya, Jumain Taepe menegaskan pecutan awal masih menjadi kelemahan utama.
Sebagai rekod, beliau bersama Azreen Nabila Alias, Zaidatul Husniah Zulkifli dan Nur Afrina Batrisyia Mohamad Rizal mencatat 44.58s untuk memecah rekod kebangsaan 4x100m wanita di Sukan SEA Kemboja 2023. – UTUSAN