Norris tawan GP Hungary

Norris tawan GP Hungary

PEMANDU McLaren dari Britain, Lando Norris meraikan kejayaan di podium selepas memenangi Grand Prix (GP) Formula Satu (F1) Hungary - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BUDAPEST: Lando Norris terus cemerlang apabila menghadiahkan kemenangan bergaya buat McLaren selepas menjuarai Grand Prix (GP) Hungary malam tadi, menewaskan rakan sepasukan, Oscar Piastri, dalam saingan sengit hingga ke garisan penamat.

Lebih manis, kejayaan itu turut mencatat sejarah tersendiri buat McLaren apabila mereka meraikan kemenangan ke-200 dalam saingan Formula Satu (F1), selain mengekalkan rekod cemerlang empat kemenangan 1-2 berturut-turut musim ini.

Norris yang menggunakan strategi satu hentian tampil tenang meskipun diasak hebat oleh Piastri yang berada di belakangnya dengan tayar keras, sebelum menamatkan perlumbaan dengan kelebihan kurang daripada satu saat.

Kemenangan tersebut turut membantu Norris menghampiri kedudukan Piastri dalam carta kejuaraan dunia apabila kini hanya dibezakan sembilan mata menjelang cuti pertengahan musim.

“Perlumbaan yang cukup sukar… saya betul-betul letih! Suara pun dah hilang. Saya sendiri tak sangka strategi satu hentian ini berjaya, tapi itulah yang buat kemenangan ini lebih bermakna,” kata Norris selepas perlumbaan.

Sementara itu, Piastri yang menamatkan saingan di tempat kedua mengakui sudah tidak sabar untuk berehat selepas mengharungi jadual perlumbaan yang padat sejak awal musim.

George Russell dari Mercedes pula menamatkan saingan di tempat ketiga, memastikan tempat di podium selepas menewaskan pelumba Ferrari, Charles Leclerc yang bermula dari petak utama.

Leclerc nyata kecewa selepas hanya sekadar menduduki tempat keempat, sekali gus meneruskan kemarau kemenangan buat Ferrari musim ini yang dikatakan berpunca daripada kesilapan strategi pasukan.-AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN