LONDON: Pendahulu kejuaraan MotoGP, Marc Marquez menjelaskan bagaimana naluri telah mendorong kejayaannya dalam kerjaya grand prix (GP) dan cara dia menangani kritikan daripada pesaingnya.
Pelumba berusia 32 tahun itu memulakan penampilannya dalam kelas perdana pada 2013 dan memenangi enam gelaran dunia dalam tempoh tujuh tahun bersama Honda.
Sepanjang tempoh tersebut dia terlibat dalam persaingan dengan pelumba seperti Dani Pedrosa, Jorge Lorenzo dan paling terkenal Valentino Rossi.
Sejak musim rookie, Marc Marquez mencetuskan ketegangan dengan pelumba bintang sedia ada, sesuatu yang kini dilihatnya dengan bangga kerana katanya dia sentiasa bertindak mengikut naluri.
“Saya ada pengalaman dengan Pedrosa, dengan Lorenzo, saya juga ada pengalaman dengan Valentino.
“Mereka rakan sepasuka tetapi mereka juga pesaing, dan apa yang saya tekankan atau apa yang saya banggakan ialah apabila anda tiba pada usia 20 tahun adalah mudah untuk semua kenyataan itu menjejaskan anda.
“Tetapi ia tidak memberi kesan kepada saya, tidak pada watak saya dan tidak juga pada cara saya menunggang.
“Sebab saya tak tahu cara lain untuk melakukannya. Saya menunggang mengikut naluri, saya masih menunggang mengikut naluri. Temu bual, sambutan kemenangan, semua mengikut naluri kerana saya tidak suka merancang apa-apa,” katanya. – AGENSI