PETALING JAYA: Kerajaan tidak akan mengambil sebarang tindakan diplomatik terhadap mana-mana individu khususnya dari luar negara yang menyuarakan pandangan peribadi di media sosial.
Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, pandangan peribadi termasuk individu dari negara jiran yang tular baru-baru ini tidak mewakili pendirian keseluruhan rakyat negara berkenaan.
“Itu suara seorang individu yang partinya tidak menang satu kerusi pun dalam pilihan raya. Jadi kita tidak perlu terkejut kerana kadang-kadang hubungan antara parti di sana yang tidak senang dengan kerajaan memang ada.
“Mereka gunakan keadaan ini untuk mengecam Perdana Menteri Malaysia kerana ramai yang tidak senang dengan negara kita. Perdana Menteri kita memang dipuji ramai pemimpin dunia atas kejayaan mempengerusikan ASEAN,” katanya kepada pemberita selepas Program Ramah Mesra dan Makan Tengah Hari bersama Penduduk PDM Brunei di Kampung Brunei, Membakut, Sabah.
Baru-baru ini, bekas ketua Radio dan Televisyen Tentera Diraja Thailand, Jeneral A Rangsi Kitiyansap dilaporkan mendakwa Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai pengkhianat dan pengintip Amerika Syarikat (AS) susulan peranan Perdana Menteri dalam rundingan damai Kemboja-Thailand.
Mohamad berkata, kejayaan Anwar sebagai fasilitator rundingan damai antara Kemboja dan Thailand membuktikan Malaysia menguruskan hal-ehwal ASEAN dengan baik.
“Kita menjadi fasilitator supaya Kemboja dan Thailand duduk semeja bagi menghentikan peperangan atau melakukan gencatan senjata.
“Dunia menjadi saksi kecemerlangan Malaysia mengurus ASEAN. Kita bukan sahaja dapat mendamaikan konflik Kemboja-Thailand tetapi juga menerima Timor Leste sebagai anggota ke-11 ASEAN,” katanya. – UTUSAN










