KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menuntut Ahli Parlimen Pagoh, Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk turut memohon maaf atas fitnah dan tuduhan yang dilemparkan kepadanya selama ini.
Perdana Menteri berkata, Muhyiddin sebelum ini banyak melemparkan fitnah terhadapnya sama ada dalam mahupun di luar Parlimen.
“Dia (Muhyiddin) pun kena minta maaf banyak tuduhan-tuduhan, fitnah dia lemparkan, (kata) kerajaan zalim, tidak beri peruntukan kepada Kelantan, beratus yang disebut di Parlimen dan di luar Parlimen,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas merasmikan Forum Undang-undang ASEAN 2025 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) di sini, hari ini.
Minggu lalu, Muhyiddin yang juga Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) menuntut Anwar meminta maaf berhubung kenyataan yang mendakwa Muhyiddin mempertahankan warga asing dalam isu penyasaran subsidi petrol RON95.
Susulan itu, Pejabat Perdana Menteri memaklumkan, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) akan melaksanakan siasatan berhubung kenyataan yang dikaitkan dengan Muhyiddin.
Anwar berkata, beliau masih menunggu laporan MCMC sebelum membuat sebarang keputusan sama ada akan meminta maaf kepada Muhyiddin. – UTUSAN










