PETALING JAYA: Skuad sepak takraw kebangsaan mahu ke Sukan SEA 2025 di Thailand dengan persiapan sempurna dengan misi menumpaskan tuan rumah yang juga musuh tradisi.
Ketua jurulatih negara, Ahmad Jais Baharun berkata, pihaknya sedang menunggu laporan analisis prestasi daripada Institut Sukan Negara (ISN) yang akan menjadi panduan latihan.
“Kita mahu ke Sukan SEA 2025 dengan persiapan yang sempurna. Semua aspek akan diteliti, termasuk kekuatan mental dan semangat juang pemain,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Menurut Ahmad Jais, skuad negara juga akan diuji oleh kelab-kelab luar negara dalam aksi pemanas badan sebelum membuka cabaran pada temasya tersebut hujung tahun ini.
Katanya, langkah berkenaan bertujuan menguji tahap sebenar kemampuan pemain menjelang temasya dwitahunan itu, namun segalanya bergantung kepada kelulusan.
“Perlawanan ujian ini bergantung kepada kelulusan dan kebenaran Persatuan Sepaktakraw Malaysia (PSM). Jika diluluskan, kita akan cari lawan yang berkualiti.
“Menerusi aksi persahabatan ini kita dapat mengukur kekuatan dan kelemahan skuad sebelum ke Sukan SEA.
“Fokus kita jelas selepas dari Piala Raja Thai, kita akan perbaiki elemen fizikal, mental dan taktikal supaya pasukan benar-benar mantap di gelanggang nanti,” katanya
Dalam pada itu, Jais berkata, semua pemain bakal menyertai kem latihan kebangsaan selepas saingan Liga Sepaktakraw (STL) dan Champions Cup berakhir.
Sebelum ini, skuad negara gagal memenangi sebarang acara di Kejohanan Piala Raja Thai pada Julai lalu dengan pencapaian terbaik muncul naib juara dalam acara regu berpasukan.-UTUSAN