MONTREAL: Pemain tenis remaja Kanada, Victoria Mboko meneruskan kisah dongengnya di Terbuka Kanada apabila dia dengan mudah menewaskan wakil dari Sepanyol, Jessica Bouzas Maneiro untuk mara ke separuh akhir kejohanan.
Mboko, 18, sebelum ini menyingkirkan juara Grand Slam dua kali, Coco Gauff di pusingan keempat sekali lagi mempamerkan aksi mengagumkan di laman sendiri dengan kemenangan 6-4 6-2.
Dia akan menentang juara Wimbledon 2022, Elena Rybakina merupakan pilihan kesembila, dalam penampilan pertamanya di separuh akhir kejohanan peringkat WTA 1000.
“Saya sangat teruja dapat mara ke separuh akhir di sini. Kali pertama saya bermain di Montreal merupakan satu pengalaman yang luar biasa dan saya sangat bersyukur,” kata Mboko yang kini berada di kedudukan ke-85 dunia.
Mboko memulakan musim ini di kedudukan ke-333 dunia dan dijangka akan naik ke dalam kelompok 50 terbaik apabila ranking dikemas kini minggu hadapan.
Selepas membuka musim dengan rekod kemenangan 22 perlawanan berturut-turut dan memenangi lima kejuaraan di Jelajah ITF yang bertaraf lebih rendah, dia membuat penampilan sulung di Jelajah WTA pada Mac lalu.
Dalam penampilan pertamanya di Grand Slam, Mboko pamer aksi menonjol apabila mara ke pusingan ketiga di Terbuka Perancis sebelum menewaskan pilihan ke-25, Magdalena Frech di pusingan pertama Wimbledon sebulan kemudian.
Mboko menjadi pemain Kanada pertama mara ke separuh akhir kejohanan ini sejak Bianca Andreescu memenanginya pada 2019 dan dia juga merupakan wanita termuda yang mara ke separuh akhir sejak Belinda Bencic pada 2015.
Elena Rybakina bertemu Mboko di peringkat separuh akhir selepas pemain Ukraine, Marta Kostyuk terpaksa menarik diri akibat kecederaan pergelangan tangan ketika ketinggalan 6-1 2-1. – AGENSI