OVIEDO: Kylian Mbappe sekali lagi menjadi wira Real Madrid apabila meledak dua gol dalam kemenangan 3-0 ke atas Real Oviedo dalam aksi La Liga, pagi tadi.
Pertemuan itu cukup bermakna buat Oviedo yang kembali ke saingan La Liga selepas hampir 25 tahun, dengan sorakan padu penyokong tuan rumah mengiringi aksi.
Mbappe membuka tirai jaringan pada minit ke-37 hasil hantaran Arda Guler walaupun dibayangi kontroversi selepas terjahan Aurelien Tchouameni dipertikaikan pemain Oviedo.
Bintang Perancis itu sekali lagi menambah gol kedua pada minit ke-83 selepas menerima lorongan bijak Vinicius Junior.
Vinicius yang dimasukkan pada babak kedua turut mencatat nama sebagai penjaring selepas melengkapkan kemenangan dengan gol ketiga pada masa kecederaan.
Bos Madrid, Xabi Alonso turut melakukan beberapa pertukaran dengan menurunkan Dani Carvajal dan Rodrygo Goes dalam kesebelasan utama, sementara pemain remaja sensasi Argentina, Franco Mastantuono membuat penampilan penuh sulung.
Thibaut Courtois pula menafikan beberapa percubaan berbahaya termasuk sepakan Kwasi Sibo yang terkena tiang pada minit ke-81.
Dalam aksi lain, Villarreal membelasah Girona 5-0 dengan pemain baharu, Tajon Buchanan meledak hatrik, manakala Real Sociedad bangkit seri 2-2 menentang Espanyol.
Osasuna pula mencatat kemenangan tipis 1-0 ke atas Valencia hasil jaringan awal Ante Budimir. – AGENSI