Setahun berlalu, mangsa letupan Putra Heights masih trauma

Setahun berlalu, mangsa letupan Putra Heights masih trauma

KEADAAN rumah selepas setahun letupan gas Putra Heights, Puchong, ketika tinjauan pada April lalu. - UTUSAN/SHIDDIEQIIN ZON
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SUBANG JAYA: Tragedi kebakaran dan letupan saluran paip gas di Putra Heights di sini pada 1 April tahun lalu masih segar dalam ingatan mangsa khususnya masyarakat Islam yang pada ketika itu sibuk meraikan sambutan Aidilfitri.

Kejadian pada hari raya kedua itu telah menjejaskan sebanyak 219 kediaman dan lebih 300 orang yang hilang tempat tinggal dan harta benda sekelip mata, tidak kurang yang turut mengalami kecederaan.

Tinjauan Utusan Malaysia mendapati terdapat sebahagian penduduk memilih untuk memperbaiki kediaman masing-masing dan sebahagian lagi hanya membiarkan kesan kebakaran itu terus ‘tinggal’ di rumah mereka.

Bagi mangsa di Kampung Kuala Sungai Baru yang terkesan dengan letupan gas itu, mereka telah menerima kediaman baharu dari pihak kerajaan pada 4 Disember lalu.

Salah seorang daripada mereka, Mohd. Sabri Nordin, 48, berkata, persiapan Aidilfitri kali ini sudah tentu membuatkan dirinya dan keluarga mengimbas kembali tragedi tersebut yang menyebabkan dia kehilangan tempat tinggal dan dua buah rumah sewa.

Dia mengakui masih trauma dengan kejadian itu dan setiap kali mengingatinya, kecederaan yang meninggal parut di belakang badannya juga kembali terasa.

“Sudah pasti saya dan keluarga ingat tragedi itu sampai sekarang terutama nak menjelang Aidilfitri ini, ini kerana ia jadi pada hari raya kedua maka memang mustahil untuk dilupakan,” katanya.

Dia mengakui sejak kejadian tersebut, apabila melihat ada kontraktor yang sedang melakukan kerja pembangunan atau menggali tanah maka ia akan memberi perasaan gusar pada dirinya.

“Isteri saya hari-hari menangis disebabkan tragedi tersebut, kesan letupan Putra Heights itu memang tidak boleh dibayangkan sehingga hari ini.

“Tragedi seperti itu tidak pernah terjadi, kalau banjir sudah pernah berlaku tetapi letupan seperti itu tidak pernah. Sekarang saya tengok ada kerja pembinaan di kawasan hendak keluar dari kampung, itu pun di atas saluran paip dan sudah ada papan tanda.

“Saya ambil gambar dan tunjuk pada ketua kampung dan beliau kata pihak kontraktor itu sudah ambil kira faktor keselamatan dan sebagainya. Kita tengok itu pun sudah menjadi trauma,” katanya.

Dalam pada itu, seorang lagi penduduk, Aziah Azib, 56, berkata, dia kini dalam keadaan tenang dan sedang menjalani sesi kaunseling selepas letupan tersebut.

“Saya sebenarnya baru sahaja lepas daripada sesi kaunseling tetapi masih menjalani rawatan psikologi bagi trauma dan ketakutan dekat sebuah hospital kerajaan di Putrajaya.

“Saya rasa semua syarikat-syarikat yang terlibat perlu ada tanggungjawab masing-masing agar situasi seperti itu tidak berulang lagi”, katanya.

Sementara itu, seorang lagi mangsa, Johar Misri, 66, berkata, diri dan keluarga hanya memilih untuk berdiam diri sahaja sejak insiden tersebut.

“Sejak setahun lepas kejadian, semua senyap sahaja dan itupun saya dapat sebuah rumah daripada SPNB, namun kosong sahaja,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN