BALATONFOKAJAR: Marc Marquez meneruskan rentak kemenangan apabila menjuarai perlumbaan pecut Grand Prix (GP) Hungary dengan kelebihan hampir tiga saat, malam tadi.
Kejayaan itu menyaksikan pelumba Sepanyol berusia 32 tahun tersebut meraih kemenangan ketujuh berturut-turut dalam saingan pecut selain enam perlumbaan utama hujung minggu sebelum ini.
Fabio Di Giannantonio dari pasukan Ducati VR46 menamatkan saingan di tempat kedua manakala rakan sepasukannya, Franco Morbidelli melengkapkan podium di tangga ketiga.
Marquez yang bermula dari petak utama berkata kemenangan tersebut amat bermakna selepas berjaya mengatasi tekanan pada awal perlumbaan.
“Saya rasa ada pelumba betul-betul rapat di selekoh pertama, dari situ saya cepat dapat rentak laju. Saya sangat gembira dengan kemenangan ini,” kata Marquez.
Rakan sepasukan Marquez dalam Ducati, Francesco Bagnaia terus bergelut apabila sekadar menamatkan perlumbaan di kedudukan ke-13 tanpa sebarang mata.
Perlumbaan pecut itu turut menyaksikan tiga pelumba tersingkir seawal pusingan pertama termasuk Fabio Quartararo yang terlibat dalam insiden dengan Enea Bastianini dan Johann Zarco. – AGENSI