LONDON: Pelumba Ducati, Marc Marquez menegaskan dia menyokong peraturan tekanan tayar MotoGP namun percaya bahawa penalti yang dikenakan sekiranya tidak mematuhinya adalah terlalu berat.
Marquez memperlahankan jenteranya dan secara sengaja melepaskan kedudukan pendahulu dalam saingan pecut di Brno kepada Pedro Acosta selepas menerima amaran di papan pemuka bahawa dia berisiko gagal melengkapkan 30 peratus pusingan perlumbaan dengan tekanan tayar hadapan melebihi had minimum.
Selepas membenarkan pelumba KTM itu memotong, Marquez mengekori rapat Acosta untuk menaikkan suhu dan tekanan tayarnya sebelum dengan tenang merampas semula keduduan pertama dan memenangi perlumbaan.
Di Brno, rakan sepasukan Marquez, Francesco Bagnaia juga menjadi mangsa kepada peraturan tekanan tayar akibat kerosakan papan pemuka.
Bagnaia menyangka dia berada di bawah had minimum lalu membenarkan beberapa pelumba memotong dan jatuh dari tempat kedua ke ketujuh, hanya mengetahui selepas perlumbaan bahawa tekanan tayarnya telah melebihi paras yang ditetapkan.
Walaupun terdapat kontroversi dan siasatan selepas perlumbaan, Marquez dengan jelas menyatakan bahawa beliau bersetuju dengan kewujudan peraturan tekanan tayar.
“Saya setuju dengan peraturan itu, kerana pada akhirnya ia adalah peraturan keselamatan. Memang benar bahawa penalti itu, pada pendapat saya, terlalu berat. Saya rasa ia boleh dikurangkan beberapa saat.
“Bagi saya, kurangkan penalti itu separuh. Seperti empat saat dalam pecut dan lapan saat dalam perlumbaan GP. Itu lebih masuk akal. Sekarang lapan saat dalam pecut dan 16 saat dalam GP adalah penalti yang besar dan lebih baik tunggu pelumba lain,” kata Marquez. – AGENSI